suria

[V] Nampak pesakit baru meninggal dunia, tukang cuci di hospital terus curi barang kemas

Tangkap layar CCTV seorang pekerja pembersihan mencuri barang kemas wanita baru meninggal dunia.

SEORANG pekerja pembersihan hospital didakwa mencuri barang kemas milik seorang wanita sejurus dia meninggal dunia di sebuah pusat penjagaan kesihatan swasta pada Selasa.

Anak mangsa berkata, dia membawa ibunya yang sakit ke wad kecemasan hospital berhampiran rumah mereka namun doktor kemudian menasihatinya memindahkan ibunya ke hospital lain. 

Sewaktu dia keluar untuk menghubungi ambulans, barang kemas ibunya didakwa telah dicuri.

Video kejadian yang tular [Tonton Video] menunjukkan seorang kakitangan hospital dipercayai mengambil barang kemas wanita itu. 

Kejadian dilapor berlaku di Krishna Nagar, Delhi Timur di India.

Anak mangsa yang dikenali sebagai Gupta mendapati subang dan rantai ibunya hilang.

Apabila dimaklumkan kepada pihak pengurusan hospital, barang kemas tersebut ditemui ada bersama seorang pekerja pembersihan yang disyaki mencurinya.

“Ibu saya dipasangkan oksigen sebaik sahaja kami tiba. Ketika doktor menyarankan untuk memindahkannya, saya keluar untuk panggil ambulans.

"Apabila kembali, dia telah meninggal dunia. Sewaktu kami kembali bersama ahli keluarga lain, subangnya telah hilang," katanya.

Dia menambah, pihak hospital pada awalnya menafikan mereka tahu mengenai kehilangan barang kemas itu dan meminta keluarga memeriksa dengan lebih teliti sebelum menguruskan jenazah. 

Katanya, subang telah dikembalikan kepada keluarga, namun rantai masih belum ditemui. -Agensi

 

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia