SEORANG penjawat awam dihukum penjara lima tahun selepas terbukti menerima gaji selama 10 tahun meskipun tidak hadir bekerja.
Berdasarkan dokumen mahkamah, lelaki berkenaan yang identitinya tidak didedahkan bekerja di bahagian perkhidmatan komuniti.
Namun dia didapati tidak pernah menjalankan tugas sepanjang tempoh lantikan tersebut meskipun gaji tetap dikreditkan ke dalam akaunnya setiap bulan.
Susulan pembongkaran tersebut, pihak berkuasa membuka kertas siasatan atas kesalahan memperkayakan diri secara haram serta menyalahgunakan dana awam.
Bagaimanapun dia dibebaskan oleh dua mahkamah lain berhubung dakwaan berkenaan.
Namun mahkamah kasasi memutuskan bukti terhadapnya kukuh dan tidak boleh dipertikaikan, seterusnya membatalkan keputusan terdahulu.
Tertuduh turut diarahkan membayar denda KD312,000 (sekitar RM4.19 juta) dan memulangkan semula gaji yang diterima berjumlah KD104,000 (RM1.39 juta) selain penalti berganda.
Kejadian berlaku di Kuwait dan didedahkan di laman Instagram Kuwaitdu News pada 27 November lalu.
Dalam pada itu, akhbar Al Qabas menyifatkan keputusan tersebut sebagai hukuman paling tegas dalam beberapa tahun terakhir ketika Kuwait mempergiat usaha membanteras penipuan gaji dan rasuah pentadbiran. -Agensi


