HARAPAN untuk melihat Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati 'bangun' daripada koma sejak hampir empat tahun lalu tidak kesampaian apabila baginda dilaporkan mangkat pada usia 47 tahun pada Khamis.Khabar duka itu diumumkan pihak istana pada Jumaat, sekali gus mengakhiri penantian panjang rakyat Thailand yang mengikuti perkembangan kesihatan baginda sejak Disember 2022. Menurut kenyataan istana, pasukan perubatan telah memberikan rawatan terbaik sepanjang tempoh tersebut, namun keadaan puteri berkenaan terus merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.48 malam waktu tempatan di Hospital Chulalongkorn.Bajrakitiyabha dilaporkan rebah ketika sedang bersenam bersama anjing peliharaannya pada Disember 2022.Doktor kemudian mengesahkan baginda mengalami degupan jantung yang tidak teratur secara serius, dipercayai berpunca daripada jangkitan dalam rongga abdomen, radang usus besar (kolitis), tekanan darah rendah, gangguan rentak jantung (aritmia) serta masalah pembekuan darah.Pemergian Bajrakitiyabha disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat institusi diraja Thailand memandangkan baginda merupakan antara anggota keluarga diraja yang paling menonjol serta berpengaruh.Baginda merupakan anak sulung daripada tujuh adik beradik.Baginda juga sering menjadi perhatian ramai kerana kebolehan, pengalaman dan kepercayaan yang diberikan oleh bapanya, Raja Maha Vajiralongkorn terhadapnya.Bajrakitiyabha merupakan anak sulung daripada tujuh cahaya mata Raja Vajiralongkorn dan bekas isterinya, Puteri Soamsawali, dilahirkan pada 7 Disember 1978.Baginda mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang dalam bidang undang-undang dan memperoleh dua ijazah pascasiswazah dari Universiti Cornell di Amerika Syarikat.Selepas menamatkan pengajian, baginda pernah berkhidmat di misi Thailand ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sebelum kembali ke tanah air pada 2006 untuk berkhidmat sebagai peguam di Pejabat Peguam Negara Thailand hingga 2011.Antara tahun 2012 hingga 2014, Bajrakitiyabha memegang jawatan Duta Thailand ke Austria dan menjalinkan hubungan rapat dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).Sepanjang kerjayanya, baginda lantang memperjuangkan reformasi sistem penjara dan keadilan jenayah, khususnya melibatkan golongan wanita yang dipenjarakan.Sekembalinya ke Thailand, baginda dilantik sebagai Duta UNODC bagi Kedaulatan Undang-Undang di Asia Tenggara dan terus memperjuangkan perubahan dalam sistem keadilan jenayah negara itu.Puteri Bajrakitiyabha dikenali sebagai individu yang aktif bersukan sebelum rebah ketika bersenam pada Disember 2022.Pada 2021, Raja Vajiralongkorn melantiknya sebagai ketua staf dalam unit pengawal peribadi diraja dengan pangkat jeneral.Selain dikenali sebagai tokoh perundangan, Bajrakitiyabha juga meminati aktiviti kecergasan dan kerap menyertai acara larian jarak jauh.Keupayaan serta kredibiliti yang dimiliki menjadikan baginda sering disebut-sebut sebagai antara calon paling berpotensi untuk mewarisi takhta Thailand.Sehingga kini, Raja Vajiralongkorn yang berusia 74 tahun masih belum menamakan pewaris rasmi takhta negara itu.Walaupun tradisi Thailand menetapkan pewaris takhta terdiri daripada lelaki, pindaan perlembagaan pada 1974 membolehkan wanita menaiki takhta.Kematian Bajrakitiyabha sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai masa depan pewarisan takhta Thailand, namun perbincangan terbuka mengenainya amat terhad berikutan undang-undang lese majeste yang ketat di negara tersebut.