SEORANG pelancong wanita cedera dalam satu insiden serangan jerung ketika mengikuti kursus menyelam skuba di Maldives.
Menurut laporan media, dalam kejadian pada November lalu, pelancong wanita berusia 26 tahun dari China itu dilaporkan menyelam ketika sedang haid.
Mangsa dikatakan berhasrat mendapatkan gambar menarik untuk dimuat naik ke Instagram.
Sebelum menyelam, wanita tersebut membuat carian dalam talian dan berunding dengan penyelam profesional mengenai keselamatan menyelam semasa haid, dan dimaklumkan bahawa ia tidak berisiko.
Dia yang menggunakan tampon ketika menyelam memberitahu ternampak beberapa ekor jerung spesies nurse shark dan mengejar haiwan itu untuk 'bermain'.
Tindakan tersebut bagaimanapun mengundang padah apabila salah seekor haiwan berkenaan menyerangnya dan meninggalkan kesan gigitan yang dalam pada pergelangan tangannya.
Selepas kejadian, wanita itu sempat membuat rakaman menunjukkan lebam dan bengkak di tangan kepada rakan-rakan.
Mereka menggesanya mendapatkan rawatan segera kerana bimbang risiko jangkitan.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital tempatan, di mana lukanya dibersihkan dan dia menerima suntikan tetanus.
Menurut Florida Museum of Natural History, tiada bukti kukuh yang menunjukkan keadaan haid meningkatkan risiko serangan jerung.
Jelasnya, tekanan air ketika berenang boleh menghentikan sementara aliran darah haid, sekali gus mengurangkan kemungkinan darah mengalir memasuki air. -Agensi


