suria

Pelajar bunuh diri lepas kantoi curi aiskrim RM14, malu maruah tercalar gara-gara pengurus pusat tuisyen sebar ‘screenshot’ CCTV

Mangsa (kiri) mengalami ketakutan yang teramat sangat ditemui meninggal dunia di rumahnya pada 23 September lalu.

SEORANG remaja perempuan di Korea Selatan dilaporkan menamatkan hidupnya selepas gambarnya mencuri di sebuah kedai tanpa penjaga tersebar luas dalam kalangan komuniti setempat.

Berdasarkan laporan Korea NGO Newspaper pada 29 November lalu, mangsa dikenali sebagai Lee yang berusia 18 tahun, ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Hongseong, Chungcheongnam-do pada 23 September lalu.

Sebelum kejadian, pelajar itu didakwa telah beberapa kali mencuri aiskrim yang keseluruhannya bernilai 5,000 won (kira-kira RM14) di sebuah kedai berhampiran sekolahnya.

Menurut laporan media Korea, rakaman kamera pengawasan (CCTV) yang merakamkan perbuatannya telah dihantar pemilik kedai kepada seorang pengurus pusat tuisyen.

Individu itu kemudian menyebarkan tangkap layar tersebut kepada para pelajar sambil meminta mereka mengenal pasti suspek.

Gambar itu bagaimanapun tidak disunting atau disamarkan, menyebabkan wajah Lee dapat dilihat dengan jelas sehingga tersebar dengan cepat dalam kalangan pelajar.

Ia kemudian mendapat perhatian abang serta ibunya.

Difahamkan, ibu Lee telah menghubungi pemilik kedai pada malam sebelum kejadian bagi membincangkan penyelesaian.

Namun remaja itu dipercayai mengalami tekanan emosi yang teruk dan ditemukan meninggal dunia pada keesokan paginya.

Perbualan terakhir antara Lee dan rakannya menunjukkan dia berada dalam keadaan ketakutan dan bimbang maruahnya tercalar, selain tidak mahu berdepan dengan pelajar lain di sekolah.

Susulan itu, keluarga mangsa membuat laporan polis pada 14 November terhadap pemilik kedai serta pengurus pusat tuisyen berkenaan atas dakwaan melanggar undang-undang privasi dan rangkaian komunikasi.

Ibu mangsa berkata anaknya menjadi bahan ejekan dan penghinaan dalam sekelip mata selepas rakaman CCTV itu disebarkan tanpa kebenaran. -Agensi

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia