suria

Remaja terima lebih 30 jahitan di muka akibat dikelar rakan berulang kali, suspek dakwa alami tekanan emosi

Mangsa dilaporkan menerima lebih 30 jahitan pada wajah dan telinga akibat dikelar rakan sekelas. -Foto Facebook/Thaiger

SEORANG pelajar perempuan berusia 16 tahun yang disyaki mengelar wajah rakan sekelasnya menggunakan pisau mendakwa tindakannya dipengaruhi oleh masalah kemurungan.

Ibu mangsa yang tampil menuntut keadilan memberitahu media bahawa anak perempuannya yang dikenali sebagai Da, 16, menerima lebih daripada 30 jahitan akibat serangan tersebut.

Kejadian berlaku di sebuah sekolah di Loei, wilayah Timur Laut Thailand.

Menurut wanita berusia 41 tahun itu, dia menerima panggilan daripada seorang guru sekitar pukul 1 tengah hari, 28 November lalu, memaklumkan bahawa anaknya cedera dalam satu pergaduhan.

Dia bagaimanapun terkejut apabila mendapati wajah anaknya dipenuhi luka dalam serta berlumuran darah.

Menurut wanita tersebut, anaknya memaklumkan insiden berlaku ketika dia terserempak dengan suspek di kantin sekolah. 

Suspek didakwa menolak kepala anaknya ke dinding sebelum mengeluarkan pisau dan mengelar mukanya berulang kali. 

Selepas kejadian, suspek memuat naik permohonan maaf di Facebook, mendakwa tindakannya berpunca daripada kemarahan dan tekanan emosi. 

Suspek mendakwa dia berang selepas mendengar dakwaan bahawa mangsa bercakap buruk tentangnya kepada teman lelaki suspek. 

Suspek juga menuduh mangsa dan rakan sekelas lain menghina dirinya, termasuk komen mengenai latar belakang keluarga, sehingga menyebabkan dia hilang kawalan.

Suspek berkata dia dan keluarganya bersedia bertanggungjawab atas kejadian itu, dan merancang untuk memohon maaf secara bersemuka apabila mangsa berasa bersedia untuk bertemu. -Agensi

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia