SEORANG gadis maut apabila dia ditembak oleh bekas teman lelaki di hadapan adik-adiknya selepas menolak lamaran perkahwinan pada Jumaat.
Menurut polis, mangsa, Soni, 23 mengenali suspek berusia 25 tahun tiga tahun lalu ketika mereka bekerja di kompleks perumahan yang sama.
Hubungan mereka menjadi rapat, namun beberapa bulan kebelakangan ini, Soni mula tidak senang dengan sikap suspek dikenali sebagai, Krishna yang agresif dan suka mengongkong.
Empat bulan lalu, Soni membuat keputusan untuk memutuskan hubungan tersebut.
Pada malam kejadian di Noida di India, Krishna pergi ke rumah mangsa yang ketika itu bersama tiga adiknya yang berusia 14 hingga 17 tahun.
Krishna didakwa melepaskan tiga das tembakan ke dinding sebagai amaran sebelum mangsa yang cuba melarikan diri ditembak di bahagian dada.
Ketua Polis Noida dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang memburu suspek yang kini dipercayai melarikan diri ke kawasan berdekatan.
Polis turut menekankan bahawa kesemua bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan sekitar sedang dikaji untuk membantu siasatan.-Agensi


