SEORANG pekerja menjadi perhatian netizen selepas kisahnya ‘menyekat’ ketua pasukan tular di media sosial.
Tindakannya itu dipercayai didorong oleh permintaan tidak munasabah berkaitan cuti kerja.
Menurut hantaran tersebut, pekerja berkenaan sudah menerima kelulusan cuti secara lisan sebulan lebih awal.
Namun dia sukar mendapatkan pengesahan rasmi daripada ketua pasukan terbabit.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila individu itu tiba-tiba mengarahkan pekerja tersebut bekerja separuh hari pada tarikh dia sepatutnya menaiki kapal terbang.
"Dia minta saya kongsi full booking details, bukan setakat screenshot," tulis pekerja itu yang menganggap permintaan tersebut sebagai bentuk kawalan melampau.
Berang dengan sikap ketua pasukannya itu, dia bertindak menyekat panggilan dan mesej ketuanya di semua platform komunikasi sebelum meneruskan penerbangan dengan tenang.
Pekerja tersebut turut menuduh ketua pasukannya sering membuat keputusan pelik termasuk menolak permohonan bekerja dari rumah (WFH) atas alasan remeh serta menukar tarikh cuti pada saat akhir.
Insiden dilaporkan berlaku di India namun tidak mendedahkan syarikat berkenaan.
Kisah itu mengundang pelbagai reaksi, khususnya daripada pekerja lain yang turut berkongsi pengalaman berdepan pengurus yang terlalu mengawal dan tidak mempercayai staf sendiri. -Agensi


