suria

Taktik tuntut bayaran balik, pembeli guna AI jana imej produk rosak… Buah epal dibuat seperti berkulat

Ada pembeli sanggup menggunakan AI untuk menjana imej buah epal rosak selepas diterima. -Foto cqnews

PENGGUNA dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengubah suai gambar produk bagi menipu peniaga dalam talian dan menuntut bayaran balik dengan alasan barang diterima rosak.

Penipuan itu dilaporkan meningkat ketika kempen jualan besar-besaran 11.11 pada November, apabila beberapa peniaga menerima foto produk yang kelihatan rosak tetapi disahkan gambar yang dijana melalui AI.

Antara taktik digunakan ialah mengambil gambar buah-buahan kemudian meminta AI menjadikannya kelihatan berkulat, manakala penjual berus gigi elektrik menerima foto berus yang kelihatan berkarat.

“Masalah yang mereka laporkan langsung tak masuk akal,” kata seorang peniaga.

Sebuah kedai pakaian turut menerima permintaan bayaran balik penuh daripada pelanggan yang mendakwa gaun diterima koyak. 

Namun, peniaga mendapati pencahayaan yang mencurigakan dan kesan suntingan AI pada tepi pakaian tersebut.

Dalam kes lain, penjual cawan seramik menerima gambar cawan yang retak seperti sarang labah-labah.

Berasa curiga, peniaga meminta pelanggan menghantar video, menyebabkan tuntutan segera ditarik balik. 

Pemeriksaan menggunakan pengesan AI menunjukkan 92 peratus kebarangkalian gambar itu dijana secara buatan.

Golongan penipu ini digelar sebagai sheep shearers iaitu pembeli yang sengaja mencari kesalahan pada produk murah untuk mendapatkan bayaran balik tanpa memulangkan barang.

Banyak peniaga mengadu polisi platform e-dagang lebih memihak kepada pembeli, menyebabkan tuntutan tidak munasabah tetap diluluskan.

Dalam masa sama, ada juga peniaga yang menggunakan AI untuk mencantikkan produk, termasuk menghasilkan model palsu, latar belakang dan gambar barang tidak wujud.

Selain itu, platform e-dagang utama seperti Taobao dan Tmall telah membatalkan fungsi refund only pada April lalu dan memperkenalkan sistem penarafan kredit pembeli berdasarkan rekod pembelian dan maklum balas peniaga.

Menurut peguam Liu Dongchen dari Firma Undang-Undang Shaanxi Zhongzhi di China, penggunaan foto AI untuk menipu bayaran balik boleh dianggap sebagai penipuan.

“Perbuatan tidak bermoral ini tidak boleh dibiarkan. Pengguna yang menipu melalui foto AI wajar diharamkan selamanya,” kata seorang pengguna internet. -Agensi

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia