suria

Pertengkaran keluarga bertukar tragedi, dua beradik maut ditembak bapa saudara

Insiden berlaku di kawasan kejiranan mangsa. -Foto Harbeler

PERTIKAIAN keluarga bertukar tragedi apabila dua beradik maut ditembak dalam kejadian berdarah di Sanliurfa, Turkiye, pada malam Khamis.

Dalam insiden yang berlaku di kawasan kejiranan Suleymaniye itu, mangsa Mahmut Ceki, 33, dan adiknya, Resit Ceki, 31, dilaporkan ditembak bapa saudara mereka sendiri, Ibrahim Halil C.

Suspek kini dalam buruan pihak berkuasa.

Menurut laporan media tempatan, kejadian tercetus selepas isteri suspek, Emine C, didakwa dipukul lalu melarikan diri ke rumah bapanya bagi mendapatkan perlindungan. 

Pertengkaran melalui telefon antara dua keluarga dikatakan menambahkan lagi ketegangan yang tercetus.

Suspek kemudian bertindak nekad dengan pergi ke rumah bapa mentuanya sambil membawa sepucuk pistol. 

Tindakannya itu menyebabkan pertengkaran berlaku antara suspek dan dua sepupunya, Mahmut serta Resit.

Dia kemudian melepaskan beberapa das tembakan secara bertalu-talu ke arah mangsa.

Tembakan itu menyebabkan dua beradik berkenaan rebah dalam keadaan berlumuran darah bersama dua lagi individu yang turut cedera.

Orang awam yang menyaksikan kejadian segera menghubungi pihak polis dan pasukan perubatan.

Pemeriksaan mendapati Mahmut meninggal dunia di lokasi manakala Resit pula disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Dua lagi mangsa yang cedera dilaporkan masih dirawat.

Pasukan operasi khas turut digerakkan bagi mengawal kawasan kejadian sementara polis menjalankan siasatan.

Mayat Mahmut kemudiannya dibawa ke bilik mayat untuk proses bedah siasat. -Agensi

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia