SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki melakukan penyeksaan serta penderaan ke atas tiga anaknya ketika aktiviti pendakian.
Kejadian dilaporkan berlaku di Big Cottonwood Canyon, Utah.
Berdasarkan laporan, suspek, Micah Smith, 31, membawa tiga anaknya berusia dua, empat dan lapan tahun mendaki Broads Fork Trail selama hampir lapan jam sebelum tiba di puncak setinggi 11,330 kaki.
Mereka kemudiannya ditinggalkan dan dilaporkan sebagai orang hilang.
Namun selepas pencarian dilakukan, pasukan penyelamat menemui ketiga-tiga mangsa pada keesokan hari dalam keadaan kesejukan yang teruk sehingga ada yang hampir tidak bernyawa.
Ia berikutan kawasan pendakian tersebut dilanda hujan dan berada dalam keadaan sejuk.
Lebih menyedihkan apabila kanak-kanak berusia dua tahun didapati terjatuh dan terhantuk pada batu manakala seorang lagi anak suspek ditemuikan tanpa denyutan nadi sebelum menerima rawatan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR) selama 25 minit.
Anak perempuan suspek yang berusia lapan tahun pula ditemukan dalam keadaan stabil tetapi mengalami trauma dan ketakutan melampau terhadap keselamatan keluarganya.
Menurut polis, suspek mengaku memberikan CPR kepada anaknya yang tidak sedarkan diri sebelum menuruni gunung berseorangan.
Namun bukti video daripada telefonnya menunjukkan ketiga-tiga anaknya sudah ketakutan sepanjang aktiviti pendakian.
Malah dalam satu klip video, anak perempuannya kedengaran bertanya... adakah kita akan mati kesejukan, ayah?
Bagaimanapun pertanyaan itu tidak dijawab sebaliknya suspek menyatakan mereka hampir tiba di puncak.
Dalam pada itu, Peguam Daerah Salt Lake City menyifatkan tindakan suspek sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.
"Kes ini berkaitan kemudaratan emosi dan psikologi. Cara dia bertindak adalah dalam keadaan kejam sehingga menyebabkan trauma mendalam kepada anak-anaknya," katanya. -Agensi


