TINDAKAN mencurigakan seorang pemilik dewan perkahwinan membawa kepada penemuan sebuah kamera tersembunyi di bilik persalinan pekerja wanita.
Insiden itu terbongkar selepas beberapa pekerja wanita mula berasa tidak selesa apabila pemilik dewan sering keluar masuk ke ruang persalinan tanpa alasan jelas.
Mereka kemudiannya melakukan pemeriksaan sendiri di bahagian ventilasi bilik berkenaan.
Hasil pencarian menemukan sebuah kamera kecil yang disorokkan, dipercayai merakam keseluruhan ruang persalinan dan dandanan.
Ketika diaju mengenai kewujudan kamera tersebut, pemilik dewan menyatakan kamera berkenaan digunakan bagi mencegah kecurian pakaian.
Namun siasatan awal mendapati kamera itu hanya fokus pada kawasan pekerja menukar pakaian, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar pemasangan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Sultangazi, Istanbul di Turki.
Pekerja terlibat kemudiannya membuat laporan polis dan pemilik dewan ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut laporan, siasatan lanjut berhubung motif pemasangan kamera tersebut masih dijalankan. -Agensi


