suria

Lepas tegur anak pelanggan barlari-lari dalam premis, staf kedai serbaneka diarah melutut mohon maaf

Pekerja kedai terpaksa melutut seperti diarahkan pelanggan.

SEORANG pekerja wanita di sebuah cawangan kedai serbaneka terkemuka dari Jepun bukan sahaja dimalukan, malah dipaksa melutut dan meminta maaf selepas menegur sikap anak seorang pelanggan.

Ia berikutan kanak-kanak terbabit didakwa berlari-lari di dalam kedai berkenaan.

Insiden memalukan itu dirakam oleh pelanggan lain sebelum tular di media sosial Korea Selatan selepas dimuat naik pada Khamis.

Susulan daripada itu, warga maya menzahirkan rasa marah dan mengecam tindakan ibu kanak-kanak tersebut.

Menurut laporan media tempatan, kejadian bermula apabila pekerja wanita itu menegur seorang kanak-kanak yang berlari berhampiran pintu masuk dan mengingatkannya mengenai bahaya. 

Teguran itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan ibu kanak-kanak tersebut.

Dia kemudian memarahi pekerja tersebut dan mendakwanya tidak berhak menegur pelanggan.

Malah dia turut mengugut untuk membuat aduan kepada ibu pejabat rangkaian berkenaan.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila pelanggan itu terus memaki hamun sehingga pekerja berkenaan akhirnya melutut sambil memohon maaf di hadapan orang ramai.

Netizen yang menonton video tular itu turut mengecam tindakan ibu terbabit, dengan ada yang menyifatkan perbuatan membiarkan kanak-kanak berbuat salah sebagai satu bentuk pengabaian.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan rangkaian terbabit memaklumkan siasatan dalaman sedang dijalankan. 

Mereka turut merancang menyediakan sokongan kepada pekerja terlibat, termasuk cuti bergaji, sesi kaunseling psikologi dan bantuan undang-undang jika diperlukan. -Agensi

Artikel Lain