DUA lelaki yang menyamar menjadi jemaah di sebuah masjid ditahan polis selepas dipercayai mencuri duit tabung sumbangan orang ramai.
Polis memaklumkan penahanan kedua-dua suspek berusia 20 tahun itu dibuat selepas menerima video kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan perbuatan mereka.
"Sebaik sahaja menerima video CCTV daripada orang ramai, kami terus ke lokasi dan menjalankan siasatan awal,” kata Ketua Polis, Komisioner Wahid Key pada Sabtu.
Penahanan dilakukan pada Rabu kira-kira pukul 3 pagi di rumah sewa suspek di Jalan Bangka, Jakarta Selatan di Indonesia.
“Mereka bekerja sebagai buruh sambilan dan ini bukan kali pertama mereka melakukan jenayah tersebut,” jelas Key.
Menurutnya, suspek mencuri hampir Rp1 juta (RM300) daripada tabung tersebut.
“Pada hari kejadian, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri tanpa disedari sesiapa selepas mencuri hampir Rp1 juta.
“Mereka dipercayai kerap mencuri tabung masjid dengan menyamar sebagai jemaah,” tambahnya.
Suspek berdepan pertuduhan di bawah Pasal 363 Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP) berkaitan kesalahan mencuri dengan pemberatan, yang membawa hukuman penjara. -Agensi


