SEORANG pempengaruh kecergasan ditemukan maut selepas menjalani eksperimen ekstrem untuk menaikkan berat badan.
Berdasarkan laporan, dia mengambil sehingga 10,000 kalori makanan segera setiap hari demi mencapai tujuan tersebut.
Difahamkan tindakan itu dilakukan untuk mempromosikan program penurunan berat badannya.
Insiden dilaporkan berlaku di Orenburg, Rusia.
Mangsa, Dmitry Nuyanzin, 30, pada awalnya merancang untuk menambah sekurang-kurangnya 25 kilogram (kg) dalam tempoh singkat.
Susulan itu dia mengamalkan diet ekstrem dengan makan pastri, kek, ladu bersama mayonis, burger, piza serta pelbagai snek tinggi kalori secara berterusan selama beberapa minggu.
Selepas sebulan, berat badannya meningkat 13kg sehingga mencecah 105kg.
Pada 18 November lalu, dia memuat naik hantaran terakhir di Instagram sambil menikmati kerepek.
Namun pada masa sama, dia mengakui berasa tidak selesa dengan situasi tubuhnya.
Sehari sebelum tragedi, Dmitry membatalkan sesi latihan bersama beberapa pelanggan dan memaklumkan rakan bahawa dia berasa tidak sihat serta bercadang berjumpa doktor.
Bagaimanapun, dia tidak sempat berbuat demikian selepas ditemukan meninggal dunia ketika tidur akibat kegagalan jantung.
Bimbang langkah sama dilakukan orang awam, pakar kesihatan menjelaskan bahawa pengambilan kalori melampau setiap hari memberi tekanan besar terhadap organ dalaman, termasuk jantung.
Mereka turut mengingatkan bahaya beban garam, lemak dan jumlah makanan berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat.
Ia juga boleh mengakibatkan degupan jantung tidak stabil, toksisiti natrium, malah pankreatitis berlaku secara tiba-tiba.
Tragedi menimpa Dmitry menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak mencabar tubuh melalui eksperimen berisiko yang boleh mengundang maut. -Agensi


