suria

Teman lelaki dibunuh gara-gara kasta rendah... Gadis nekad ‘kahwini’ mayat kekasih tanda protes

Gadis dikenali sebagai Aanchal tidak dapat menahan tangis ketika upacara pengebumian teman lelakinya. -Foto NDTV

GARA-GARA perbezaan kasta, seorang pemuda berusia 20 tahun maut selepas dibelasah, ditembak dan dihentak kepalanya dengan batu oleh ahli keluarga teman wanitanya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Nanded, Maharashtra, India, pada 27 November lalu.

Mangsa, Saksham Tate, berkenalan dan menjalin hubungan cinta sejak tiga tahun lalu dengan seorang gadis bernama Aanchal.

Namun, percintaan mereka ditentang oleh keluarga Aanchal kerana perbezaan kasta.

Pada hari kejadian, abang dan bapa Aanchal dilaporkan memukul Tate dengan kejam, menembaknya, sebelum menghentak kepalanya dengan batu sehingga maut.

Semasa upacara pengebumian, Aanchal hadir ke rumah Tate dan menyapu kunyit pada tubuhnya, meletakkan 'sindoor' (vermillion) merah terang di dahinya, lalu 'mengahwini' mayat teman lelakinya itu sebagai simbol cinta terakhir mereka.

Aanchal turut bertekad untuk tinggal di rumah mendiang teman lelakinya sepanjang hayatnya.

"Cinta kami menang, walaupun Tate sudah tiada. Ayah serta abang-abang saya kalah," katanya sambil menuntut hukuman mati bagi pembunuh teman lelakinya itu.

Polis kini membuka kertas siasatan terhadap enam individu di bawah pelbagai seksyen undang-undang dan menahan semua suspek. -Agensi

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia