suria

Empat tahun bahagia menyulam cinta... Wanita terduduk lepas tahu kekasih romantik, maskulin rupanya perempuan!

Seorang wanita berkongsi kisah pahit dirinya menjalin cinta dengan perempuan yang menyamar sebagai lelaki. -Foto media sosial.

SELEPAS empat tahun bercinta, seorang wanita akhirnya mengetahui bahawa kekasih yang disangkanya lelaki selama ini rupa-rupanya perempuan.

Wanita dikenali sebagai Milla mendakwa mereka menjalin hubungan sejak November 2021, dengan ‘lelaki’ itu disifatkan seorang yang romantik, bertanggungjawab dan berpenampilan maskulin.

Lebih mengecewakan, Milla mendakwa ibu kepada individu tersebut mengetahui perkara itu namun tidak pernah memberi amaran, malah didakwa menyokong hubungan palsu itu.

“Selama ini saya langsung tak syak apa-apa. Dia terlalu pandai berlakon sebagai lelaki.

“Saya tak boleh terima sakit ini. Nak maafkan dia dan ibunya pun saya tak mampu,” kata wanita berasal dari Jakarta, Indonesia itu.

Ujar Milla, segala-galanya terbongkar pada Januari lalu selepas dia menemui kad insurans kesihatan yang didaftarkan atas nama seorang wanita di bilik kekasihnya.

Apabila ditanya, kekasihnya itu mendakwa kad tersebut milik saudara perempuan yang sudah meninggal dunia.

Namun, kenyataan itu bercanggah dengan maklumat yang pernah disampaikan ibunya sebelum ini.

Beberapa bulan kemudian, seorang jiran tersalah menghantar mesej WhatsApp memaklumkan mengenai seseorang bernama Santi, nama yang tidak pernah didengarnya sebelum ini.

Mesej itu mencetuskan pelbagai persoalan hingga akhirnya membawa kepada pembongkaran identiti sebenar kekasihnya.

Milla berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendedahkan individu yang disangkanya lelaki itu adalah seorang wanita bernama Susanti.

“Hari itu dunia saya rasa gelap. Saya tak sangka ditipu begitu lama. Empat tahun usaha, masa dan duit saya hilang begitu sahaja,” katanya lagi.-Agensi

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia