suria

Wanita terbaring nafasnya laju, doktor dapat rasakan ‘sesuatu’ sebaik melangkah masuk rumah pesakit... selalu berselisih bahu tugas malaikat maut - “Aku bukan bomoh atau ustaz”

Dr Ahmad Samhan memeriksa seorang pesakit yang sedang nazak. -gambar hiasan/foto facebook Ahmad Samhan

MERAWAT hingga hujung nyawa, begitulah realiti kehidupan yang perlu dihadapi oleh insan bergelar doktor.

Walaupun sudah diketahui umum bahawa ajal dan maut itu adalah ketentuan Tuhan, doktor berusaha sedaya-upaya membantu menyelamatkan pesakit.

Seorang doktor berkongsi pengalamannya merasai 'sesuatu' sebaik melangkah masuk ke rumah pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dituduh pembunuh" - Doktor kongsi tak mudah berdepan saat kematian, sampai satu tahap perlu patuh pada ketentuan

ARTIKEL BERKAITAN: "Kalau sambung mesin mak saya akan mati ke?" - Kadar survival di China rendah, kesan meracau sehingga setahun... doktor perjelas fungsi ventilator

“Iya, 'sesuatu'. Satu perasaan yang aku sukar huraikan dan ceritakan dengan kata-kata mahupun tulisan. Setiap kali merasai begini, pasti ajal pesakit dah hampir tiba.

"Aku bukan bomoh mahupun ustaz ataupun wali apatah lagi kasyaf. Tapi mungkin dah terbiasa berhadapan dengan pesakit yang berada di hujung nyawa.

"Kerjaya doktor yang selalu berselisih bahu dengan tugas malaikat maut. Mungkin," tulis Dr Ahmad Samhan Awang di laman Facebook beliau.



Pesakit menghidap kanser paru-paru. -gambar hiasan/foto facebook Ahmad Samhan

Bercerita lanjut, pesakitnya ketika itu merupakan seorang wanita yang menghidap kanser paru-paru dalam keadaan terbaring dengan nafasnya begitu laju.

"Dah berapa lama mak bernafas laju? Dah dua hari doktor. Mak ada kanser paru-paru," kata doktor berusia 34 tahun itu mengimbas kembali perbualan bersama anak pesakit.

Dr Ahmad Samhan memeriksa tekanan darah, denyutan nadi, reflek mata, kandungan gula dalam darah dan paru-paru pada pesakit.

Beliau yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kemudian menarik nafas panjang selepas pemeriksaan dilakukannya.

"Begini... dari pemeriksaan saya, mak dah tak lama. Puan, boleh panggil adik-beradik lain datang dan pakat baca (surah) Yasin," ujar Dr Ahmad Samhan dengan berat hati.

"Tak apa doktor, kami faham," menurut anak pesakit yang tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan mata.



Dr Ahmad Samhan.

Dr Ahmad Samhan kemudian membisikkan kalimah syahadah di telinga pesakit: "Laillahaillallah, muhammad madurrasullah."

Ketika itu, beliau dapat menyaksikan mulut pesakit itu berkumat-kamit sebelum dadanya yang 'berombak' secara tiba-tiba terhenti.

"Aku periksa nadi, dengar paru-paru dan ambil tekanan darah. Semuanya tiada. Maaf puan, mak puan dah pergi.

Kita boleh pilih di mana kita nak tinggal, apa yang kita nak makan, apa nak pakai. Tapi kita tak mampu pilih bila dan di mana kita nak meninggal

DR AHMAD SAMHAN

"Makkkkkkkkkk! Semua adik-beradik berlari dan terus peluk ibunya yang terbaring kaku. Aku undur ke belakang beri ruang pada mereka peluk ibu mereka yang tercinta.

"Tiada lagi tempat untuk mengadu. Tiada lagi tempat melepas rindu. Tiada lagi berkat doa seorang ibu. Semua terputus," tambah beliau.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan di Facebook.

Menurut Dr Ahmad Samhan, bukan semua orang terpilih untuk meninggal dunia pada hari Jumaat, yang merupakan penghulu segala hari.

"Kita boleh pilih di mana kita nak tinggal. Kita boleh pilih apa yang kita nak makan. Kita boleh pilih apa nak pakai. Tapi kita tak mampu pilih bila dan di mana kita nak meninggal. Semua itu Allah tetapkan di Luh Mahfuz.

"Kita boleh doa. Minta dengan Allah supaya pengakhiran kita adalah husnul khatimah. Pengakhiran yang baik. Doa sungguh-sungguh. Saya doakan pengakhiran kita semua adalah husnul khatimah. Amin," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain