Duduk ‘rumah taman’ tapi bela kambing, 2 jiran terpaksa ‘cabut’ tak tahan bau tahi - “Dah tegur tapi jawapan diberi sangat tak disangka”

Pemuda bernama Shahril kecewa dengan sikap jirannya yang bertindak memelihara kambing di kawasan perumahan sehingga menimbulkan pelbagai masalah.

TIDAK kiralah sama ada di kampung mahupun bandar, kita diingatkan agar menjaga adab dengan jiran tetangga.

Malah kepentingan adab berjiran juga amat dititikberatkan dalam agama Islam.

Seringkali kita disajikan dengan rungutan segelintir pelayar di media sosial yang meluahkan rasa kecewa mereka dengan sikap jiran yang seolah-olah tidak mempunyai 'common sense'.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak bengang rumah mak jadi ‘tandas tetap’ kucing jiran, dulu dah buat hal curi air cuci sangkar - “Jangan melampau sangat”

ARTIKEL BERKAITAN: “Oyen memang suka buat benda mengarut” - Pasang hazard light minta bantuan, pemilik akui kucingnya pelik... minum guna tangan

Antaranya tidak menjaga kebersihan, meletakkan kenderaan suka hati di depan rumah jiran lain, tidak pandai menjaga haiwan peliharaan hingga membuang najis merata-rata dan sebagainya.

Begitu juga dengan seorang pelayar Twitter ini yang meluahkan rasa kecewa terhadap jirannya kerana 'tidak pandai' menjaga hati jiran lain apabila melepaskan haiwan peliharaan sesuka hati di kawasan taman perumahan.

Apa yang mengejutkan, haiwan peliharaan jirannya itu merupakan beberapa ekor kambing!



Pokok hiasan milik Shahril 'botak' gara-gara diragut kambing jirannya.

Menurut pemuda itu yang hanya mahu dikenali sebagai Shahril, masalah tersebut bermula kira-kira tiga bulan lalu apabila jiran sebelah rumahnya membina kandang di bahagian belakang rumah untuk menempatkan empat ekor kambingnya.

"Saya sudah mendiami rumah jenis teres dua tingkat di taman perumahan itu sejak dua tahun lalu. Namun masalah kambing ini hanya bermula tiga bulan yang lalu, iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pada mulanya, jiran saya bina kandang di tempat lain, tapi tak jauh dari kawasan rumah kami. Namun difahamkan tuan tanah di kawasan tersebut ada tegur, sebab itu dia pindahkan lokasi kandang di belakang rumahnya.

"Masalahnya, bela kambing di kawasan perumahan dah satu hal. Belum lagi bau yang najis yang terpaksa saya dan rakan serumah lain hidu bila buka pintu dapur," katanya kepada mStar.



Paparan imej Group Whatsapp taman perumahan Shahril, di mana jirannya itu bertindak menyalahkannya kerana tidak menutup pagar rumah.

Menurut pemuda berusia 31 tahun ini, akibat tidak tahan dengan keadaan tersebut, dia nekad membuat aduan kepada majlis perbandaran di kawasannya agar masalah tersebut dapat diatasi.

"Selepas menerima aduan saya, pihak majlis perbandaran ada datang memeriksa dan beri notis kepada jiran saya itu pada minggu lalu.

"Namun saya tak pasti berapa lama tempoh masa yang diberi di dalam notis tersebut kerana hingga kini, kambing-kambingnya masih ada.

"Lebih teruk, dia siap bersuara dalam group WhatsApp taman perumahan dan bertanya siapa yang buat aduan. Dia bengang sebab terus buat aduan tanpa bincang dengannya terlebih dahulu," katanya.

Mereka beritahu nak pindah sebab masalah gangguan air dan salah satu sebabnya pasal bau busuk juga. Saya sebagai pemilik rumah terpaksa akur.

SHAHRIL

PEMILIK RUMAH

Cerita Shahril lagi, kesabarannya makin teruji apabila baru-baru ini jirannya melepaskan kambing-kambing tersebut dan haiwan berkenaan sesuka hati menceroboh masuk ke dalam pagarnya dan meragut pokok hiasan yang ditanamnya.

"Saya kemudian tegur di dalam group WhatsApp dan hantar gambar pokok hiasan yang diragut itu sebagai bukti. Tapi jawapan yang diberi sangat tak disangka.

"Dia sebaliknya menyalahkan saya pula kerana tak tutup pintu pagar," luahnya dalam nada kecewa.

Buat masa ini Shahril berkata, dia mahu menunggu sehingga minggu depan sebelum mengambil tindakan susulan sekiranya keadaan yang sama masih berlarutan.

"Biasanya notis ambil masa 14 hari. Jadi saya tunggu dulu. Jika masih tak ada apa-apa, mungkin akan follow up semula," katanya.



Pasu bunga Shahril retak selepas ia tumbang ke lantai gara-gara rumahnya diceroboh kambing milik jiran.

Tambah Shahtil, dua daripada rakan serumahnya mengambil keputusan untuk berpindah baru-baru ini, yag mana salah satu puncanya adalah kerana tidak tahan dengan bau busuk yang terpaksa dihidu saban hari.

"Mereka beritahu nak pindah sebab masalah gangguan air dan salah satu sebabnya pasal bau busuk juga. Saya sebagai pemilik rumah terpaksa akur. Sekarang tinggal dua orang yang tinggal termasuk saya.

"Nak cari penyewa baru pun susah sikit selagi masalah bau busuk ini tak selesai. Cuma saya nak tekankan, dalam kehidupan berjiran, kenalah jaga hak jiran. Jiran pun ada hak untuk menghirup udara segar.

"Kalau berminat nak memelihara, peliharalah di tempat sesuai dan jangan biar berkeliaran. Kalau orang buat aduan, setidak-tidaknya mohon maaf dan ambil secara positif," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kambing, jiran, aduan, kandang

Artikel Berkaitan

Artikel Lain