suria

Dakwa mampu usir tenaga jahat, tiga doktor lakukan prosedur ambil 100 ml darah pesakit

Rakaman tular memaparkan seorang doktor yang menggelarkan diri sebagai pakar 'terapi buang darah' sedang 'merawat' pesakit. -Foto Weibo

PIHAK berkuasa menahan sekumpulan doktor yang menggelarkan diri mereka sebagai pakar 'terapi pembuangan darah' kerana melakukan 'ritual' yang kononnya mampu mengusir tenaga jahat daripada tubuh manusia.

Rakaman yang dikeluarkan oleh Shanghai TV menunjukkan tiga individu sedang melakukan terapi ke atas seorang lelaki.

Dalam rakaman itu, ketiga-tiga pengamal memasukkan jarum panjang ke dalam lengan mangsa sebelum membiarkan darah mengalir keluar, membentuk genangan kecil di lantai.

Mereka meyakinkan lelaki berkenaan bahawa hanya kira-kira 100 mililiter (ml) darahnya akan diambil dan 'darah orang sihat tidak akan keluar dari jarum' bagi membuktikan bahawa 'tenaga jahat' sudah dikeluarkan.

Individu yang melakukan rakaman kemudian bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa Shanghai dan penyelia kesihatan tempatan.

Pegawai penguatkuasa segera menyerbu klinik dan mengambil tindakan terhadap pengamal tanpa lesen serta peralatan perubatan haram yang digunakan.

Difahamkan, klinik berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen sah. 

Salah seorang pengamal yang terlibat, adalah pesalah berulang.

Dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala dua yang lain dikenakan penalti. -Agensi

Artikel Lain