suria

Projek bandar mega siap dalam masa 7 tahun, pelukis gembira tak perlu usung karya ke galeri - “Saya letak bawah katil je”

Ilustrasi yang dihasilkan Riduwan menerima pujian ramai di media sosial.

BUKAN tujuh hari, namun tujuh tahun masa yang dihabiskan oleh pelukis ini dalam menghasilkan satu ilustrasi yang cukup bermakna buat dirinya.

Menurut Mohamad Riduwan Basarudin Yusoff, 36, lukisan berkonsepkan bandar mega itu dilukis secara berperingkat sehinggalah disempurnakan sekitar Oktober tahun lalu.

Tersimpan rapi di bawah katil di kediamannya, ilustrasi itu bagaimanapun mendapat perhatian ramai setelah ia dikongsi di laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Nak tengok lukisan atau pelukisnya dulu? - “Cantik itu subjektif”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Stay at home’ sangat berharga! Waktu bersiap, memandu diguna untuk melukis - “Habis Perintah Kawalan Pergerakan boleh buka galeri”

Mesra disapa Riduwan, dia mengakui bersyukur dengan respon positif yang diberikan netizen dan menganggapnya sebagai satu peluang keemasan untuk dirinya memperkenalkan lagi karya-karya yang lain.

"Nak kata doodle bukan doodle, ia lebih kepada ilustrasi yang dilukis menggunakan pen dakwat hitam sahaja.

"Projek ini bermula tujuh tahun lepas. Biasanya kalau projek yang ada deadline, saya boleh siapkan cepat.

Riduwan mula melukis secara serius sejak 12 tahun lalu.

"Berbeza dengan projek ini, saya kata why not kalau ambil masa? Tengok sejauh mana larat untuk habiskan. Terfikir untuk cabar diri sendiri," katanya.

Menurut jejaka yang menetap di Shah Alam, Selangor itu, pelbagai kisah yang berlaku dalam hidupnya selama tujuh tahun menjadi ilham bagi dirinya melengkapkan ilustrasi itu.

Malah, karya penuh nilai sentimental itu disifatkannya sebagai satu kanvas yang menyimpan pelbagai emosi dan memori khusus buat dirinya.

Tapi ilustrasi tu saya letak bawah katil je sekarang, berlaku kekangan ruang sebab ada projek lain lagi.

MOHAMAD RIDUWAN BASARUDIN YUSOFF

PELUKIS

"Kita tak tahu untuk nasib pada masa akan datang. Tak tahu kalau hilang tangan ke? Jadi saya terfikir macam ia satu suratan dan takdir.

"Bila tengok balik lukisan tu, ada bahagian tertentu yang mengingatkan saya pada peristiwa yang berlaku.

"Ada masa yang gembira, ada masa sedih. Seperti rakaman momen dalam tujuh tahun. Sepanjang tempoh itu saya kehilangan kawan, ada yang meninggal dunia, bertemu kawan baharu dan sebagainya.

Riduwan mengakui kewujudan laman sosial membantu pelukis sepertinya mempamerkan bakat kepada orang ramai.

"Struktur bangunan dalam lukisan tu ibaratnya seperti diri sendiri. Pernah juga terfikir, kalau saya mati, mesti tak siap," kata Riduwan lagi.

Menurut Riduwan, dia gembira dengan respon positif yang diterima di laman sosial.

Malah katanya, ia jauh berbeza dengan zaman dahulu yang mana agar sukar untuk pelukis memperkenalkan bakat mereka kepada umum.

Banyak peristiwa berlaku sepanjang tempoh tujuh tahun dia menyiapkan karya itu.

"Rasa bersyukur sebab dapat berkongsi karya di media sosial. Dulu pendekatannya berbeza. Dulu usung lukisan pergi ke galeri.

"Sekarang boleh dikongsi di media sosial. Rasa terharu dengan penerimaan oleh orang ramai.

"Tapi ilustrasi tu saya letak bawah katil je sekarang, berlaku kekangan ruang sebab ada projek lain lagi," ujarnya dalam nada berseloroh.

Antara karya yang dihasilkan Riduwan.

Sehingga kini, posting Riduwan menerima lebih 2,200 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

Malah, ramai yang turut memuji ketelitiannya dalam menghasilkan ilustrasi tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain