‘Diarah’ oleh isteri pakai baju tidur sedondon, suami tarik nafas panjang sebelum keluar bilik... pelik benar coraknya - “Masuk saja rumah, dia seronok sangat”

Perkongsian Hazwan yang memuat naik gambarnya memakai baju tidur corak dinasor di Facebook mencuit hati netizen.

"SWEET dan comel je! Tak semua ayah sanggup tau. Terbaik!"

Demikian komen netizen terhadap perkongsian seorang pelayar Facebook gara-gara baju kartun dinosaur yang digayakan sedondon bersama isteri dan anak-anaknya.

Menulis coretan yang dimulai dengan ayat 'cinta itu pengorbanan', pelayar lelaki berkenaan menceritakan kisah lucu yang berlaku tatkala isteri dan anaknya kali pertama melihatnya berpakaian sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu daftar kolej, tapi bapa terlupa bawa anak... pelajar dedah ibunya pun pernah ‘jalan terus’ - “Saya cuba kejar, jerit sambil menangis”

ARTIKEL BERKAITAN: Stres asyik kena ambil parcel anak beranak, bapa membebel jadi ‘mangsa’ – “Ayah order barang juga tapi belum sampai”

"Berjalan masuk bilik dan salin pakai baju dinosaur. Lepas tarik nafas tiga, empat kali, aku buka pintu bilik. Tadaaaa!!!

"Saat itu aku tengok bini aku dah tertiarap berbuih mulut sebab gelak kat aku. Cuuihhhhh! Dia tak pernah tengok cerita dinosaur ke? T-Rex semua ganas-ganas tau.

"Ko gelak pehal? Tak pernah tengok dinosaur gemok?" tulisnya pada perkongsian tersebut yang nyata mencuit hati netizen.

Posting tersebut sehingga kini meraih 1,300 shares selain dibanjiri ribuan komen netizen yang rata-rata memuji 'kecomelan' lelaki berkenaan.

Baju tidur yang dipakai sedondon bersama keluarga dibeli oleh isteri Hazwan tanpa pengetahuannya.

Malah ramai dalam kalangan netizen juga terinspirasi dan mahu membeli pakaian bermotif kartun itu untuk digayakan sedondon dengan keluarga masing-masing.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Hazwan Yusof berkata baju berkenaan dibeli oleh isteri tanpa pengetahuannya.

"Ada satu hari tu isteri bertanya pendapat saya, kartun apa yang best dan cantik? Disebabkan isteri memang suka beli baju untuk kedua-dua anak lelaki kami, jadi saya pun tak terfikir apa-apa.

Anak dan isteri ni adalah harta yang sangat bernilai bagi saya. Melihat mereka gembira adalah perkara yang membahagiakan saya.

HAZWAN YUSOF

Guru

"Hendak dijadikan cerita, baru-baru ini masa balik bekerja dan masuk saja rumah, dia seronok sangat dan beritahu baju dah sampai.

"Kemudian isteri hulur sehelai kepada saya dan minta saya cuba. Bila dia hulur, nak kata apa lagi... walau pelik juga dengan coraknya, saya masuk bilik dan cuba.

"Sebelum keluar bilik, saya dah tergelak dah bila tengok diri sendiri. Baju tu OK ngam-ngam, tapi yang buat saya nak tergelak sebab coraknya comel sangat," ujarnya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Langkawi, Kedah.

Dua cahaya mata Haazwan kini berusia enam dan empat tahun.

Cerita guru berusia 31 tahun ini, sebaik sahaja dia membuka pintu bilik, isteri dan anak-anaknya yang setia menanti di luar tidak dapat menahan ketawa kerana merasakan dirinya kelihatan lucu dengan baju bercorak sedemikian.

"Dalam masa yang sama mereka semua excited sebab ini kali pertama kami menggayakan baju tidur sedondon... kalau baju raya tu memang selalu sedondon," ujarnya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Mungkin ada sesetengah bapa yang kurang 'sporting' apabila diminta berbuat perkara yang sama, namun bagi Hazwan, dia sama sekali tidak keberatan demi menggembirakan isteri dan anak-anaknya.

"Anak dan isteri ni adalah harta yang sangat bernilai bagi saya. Melihat mereka gembira adalah perkara yang membahagiakan saya.

"Ya, tak dinafikan lelaki ni ada ego tersendiri, namun kena ingat persiapan paling penting untuk hadapi alam perkahwinan adalah rendahkan ego kita supaya kita dapat bergaul sebati dengan anak-anak dan isteri kita," kata bapa kepada dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun ini.

Hazwan mengakui sikapnya banyak berubah selepas berkahwin dan mempunyai anak, di mana dia lebih mengutamakan keluarga berbanding minatnya sendiri.

Dek kerana mahu selalu meluangkan masa bersama anak-anak, Hazwan berkata dia sanggup menjual set permainan video PS4 beberapa tahun lalu.

"Bila dah kahwin, secara perlahan-lahan minat itu diketepikan dan keluarga adalah prioriti. Saya buat semua itu sebab nak alihkan tumpuan mata saya kepada anak-anak.

"Saya tak sangka juga posting tu jadi viral. Mula-mula isteri ada juga bimbang, tapi saya beritahu usah bimbang kerana ia bukan perkara yang tak elok.

"Kebanyakannya memberi komen yang positif... ada yang nak ikut style sedonodn juga. Malah ada juga yang tanya beli baju dekat mana," ujarnya ketawa kecil.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sedondon, dinosaur, sporting, baju tidur

Artikel Berkaitan

Artikel Lain