suria

Ibu terkilan anak OKU jalan seret lutut ke kantin sekolah, dakwa tak dipantau.... YDP PIBG beri penjelasan

Seorang ibu menunjukkan situasi anaknya berjalan menggunakan lutut menuju ke kantin sekolah.

PENJELASAN Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah berhubung video tular membabitkan seorang murid pendidikan khas menarik perhatian ramai apabila dia memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap situasi itu,

Menurut Jeehan Adam, rakaman itu yang dimuat naik oleh ibu murid berkenaan di media sosial telah menimbulkan salah faham seolah-olah dia diabaikan pihak guru ketika berada di kawasan kantin sekolah dengan membiarkannya berjalan menggunakan lutut.

Jelasnya, murid yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan menghidap cerebral palsy itu sebenarnya dirakam ketika berada dalam keadaan teruja apabila mendapat tahu ibunya datang ke sekolah.

"Si anak sangat teruja bila ibu datang. Dari dalam kelas, terus keluar untuk tunjukkan kepada si ibu kantin sekolah dan kawan-kawan di situ. Si ibu pula rakam dan viralkan seolah-olah anak diabaikan guru.

"Walker (alat bantuan berjalan) tidak digunakan di dalam kelas. Anak tersebut baru sahaja bersekolah di situ. Untuk pengetahuan semua, sekolah tersebut adalah antara sekolah terbaik dalam mendidik murid PPKI," jelas Jeehan.

Bagaimanapun, gara-gara video pendek yang tular itu seluruh warga sekolah terpalit dengan kecaman netizen, malah guru-guru terpaksa memberi penjelasan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Mohon 'hadam' dan fahamkan. Guru-guru sangat menjaga murid-murid, kerana video pendek ni seluruh guru dan sekolah dipersalahkan. 

"Guru-guru bukan sahaja kena menjawab di hadapan JPN dan PPD. Netizen tidak kurang memaki hamun. Tidak adil sekiranya netizen tidak siasat cerita sebenar. Mohon semua faham dan berhenti mengecam," katanya lagi.

Tangkap layar video yang dikongsikan si ibu di media sosial.

Dalam video yang tular sejak Rabu, kelihatan seorang murid PPKI berada di kawasan kantin sekolah tanpa menggunakan alat bantuan berjalan.

Rakaman tersebut menunjukkan murid berkenaan bergerak berjalan menggunakan lutut di kawasan koridor sekolah, sekali gus menimbulkan kebimbangan si ibu yang menyaksikan sendiri situasi itu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik bersama video berkenaan, si ibu meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa anaknya berada di kantin tanpa pemantauan guru mahupun Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

"Dunia sangat kejam. Di mana cikgu, di mana PPM? H*n*n pergi kantin berlutut tiada pantauan. Luluh hati mama tengok H*n*n.

"Anak saya ada reverse walker sebab saya hari-hari turunkan dalam kereta. Kejam sungguh buat anak orang macam ni. Saya dah buat laporan pada PPD.

"Apa yang berlaku ni harap pihak bertanggung jawab ambil tindakan," tulis si ibu dalam hantaran berkenaan.

Difahamkan, wanita itu hadir ke sekolah bagi melihat anak istimewanya yang memaklumkan dia ke kantin dalam keadaan berlutut tanpa alat bantuan berjalan.

Artikel Lain