suria

Penunggang p-hailing menyamar polis didakwa rogol kerani... Ajak rakan peniaga kuih samun telefon bimbit, wang tunai RM110

Sathiyaseelan yang berbaju hitam (dua, kiri) dan Balaraj (baju jingga) dibawa ke mahkamah pada Selasa.

SEORANG penunggang p-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Klang, Selangor atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, menyamun dan merogol seorang kerani wanita dalam kejadian 18 Januari lalu.

Berdasarkan pertuduhan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar, R Sathiyaseelan, 32, didakwa merogol wanita berusia 37 tahun di kawasan parkir kenderaan di Jalan Tapah, Kawasan 18, Klang kira-kira pukul 2 pagi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu Sathiyaseelan bersama seorang lagi tertuduh, M Balaraj, 34, yang bekerja sebagai peniaga kuih turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan samun secara berkumpulan.

Tertuduh mengambil telefon bimbit serta wang tunai RM110 milik mangsa pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan itu kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar memohon agar kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Selain itu Nor Suhaili turut mencadangkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam bela, Nathiya Kamalanathan yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu supaya mereka diberikan ikat jamin pada kadar rendah atas alasan perlu menyara ibu masing-masing yang menghidap diabetes dan darah tinggi.

Mahkamah Sesyen kemudian membenarkan Sathiyaseelan diikat jamin sebanyak RM17,000 manakala Balaraj RM7,000 dengan seorang penjamin serta perlu mematuhi syarat tambahan yang ditetapkan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, kedua-dua tertuduh turut berdepan pertuduhan menyamar sebagai anggota Polis Diraja Malaysia pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada mencadangkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin

Peguam bela sekali lagi memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan keluarga tertuduh tidak berkemampuan membayar jaminan yang tinggi.

Majistret kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Lain