suria

21 akaun bernilai RM700,000 dibeku, dua hotel disita babit rasuah pegawai TLDM

SPRM komited perangi rasuah dalam kalangan masyarakat.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 21 akaun bank membabitkan nilai kira-kira RM700,000 susulan siasatan kes rasuah berkaitan perolehan projek yang didakwa mempunyai kaitan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menerusi laporan The Star pada Isnin, tindakan itu dilakukan menerusi operasi khas dikenali sebagai Ops Layar, yang kini sedang giat dijalankan SPRM.

"Sebanyak 21 akaun bank telah dibekukan, melibatkan tujuh akaun milik syarikat dan 14 lagi atas nama beberapa individu dengan anggaran keseluruhan wang berjumlah RM700,000.

"Langkah ini diambil selepas siasatan mendapati terdapat syarikat yang dipercayai terlibat dalam amalan rasuah bagi mencadangkan dan melantik firma yang mempunyai kaitan dengan seorang pegawai kanan Tentera Laut," katanya.

Sumber turut memaklumkan, siasatan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM membawa kepada penyitaan dua buah hotel yang didakwa dimiliki pegawai kanan berkenaan.

Difahamkan, anggaran nilai keseluruhan aset tersebut adalah kira-kira RM2 juta.

Dalam pada itu, SPRM juga sedang menjalankan semakan dengan Jabatan Akauntan Negara bagi mengenal pasti sama ada sebarang tender atau sebut harga telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat terbabit.

"Ketika ini, SPRM sedang menjejaki aset-aset lain yang dipercayai milik suspek selain mengenal pasti pemilik syarikat yang disyaki bersekongkol dengannya," tambah sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini kenyataan telah diambil daripada tujuh individu yang disyaki terlibat dan siasatan masih diteruskan.

Artikel Lain