suria

Helah bermalam rupanya ada agenda! Bawa lari kunci pendua, lelaki ditangkap pecah masuk rumah rakan sendiri

Kegiatan pecah rumah adalah satu jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 21 tahun ditahan polis selepas dipercayai memecah masuk rumah rakannya sendiri dan melarikan beberapa barangan berharga.

Kejadian dilaporkan berlaku di Bogor, Indonesia.

Suspek didakwa mencuri wang tunai berjumlah Rp2.5 juta (kira-kira RM580), sebuah tablet Samsung serta satu silinder gas milik mangsa.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cibinong, AKP Yunli Pangestu berkata, suspek dipercayai menggunakan kunci pendua yang dicurinya ketika bermalam di rumah mangsa sehari sebelum kejadian.

"Suspek mengambil kunci pendua dari dalam rumah mangsa, kemudian kembali semula ke rumah tersebut menggunakan kunci itu sebelum mengambil barangan milik mangsa," katanya.

Tambah Yunli, kes berkenaan terbongkar selepas mangsa pulang ke rumahnya pada awal pagi Selasa sekitar pukul 5 pagi dan menyedari tabletnya sudah tiada.

Mangsa kemudian mendapati wang tunai Rp2.5 juta (kira-kira RM580) serta satu silinder gas turut hilang.

Susulan kejadian itu, mangsa mula mengesyaki suspek yang pernah bermalam di rumahnya sehari sebelum kejadian berlaku.

Kecurigaan tersebut akhirnya terjawab tiga hari kemudian apabila mangsa dimaklumkan oleh penduduk setempat mengenai seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri topi keledar berhampiran kawasan rumahnya.

Apabila mangsa datang untuk melihat suspek, dia mendapati individu ditahan itu ialah rakannya sendiri.

Ketika berdepan dengan mangsa dan penduduk setempat, suspek akhirnya mengaku memecah masuk rumah rakannya menggunakan kunci pendua yang dicuri.

Mangsa kemudian segera menghubungi polis sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut bersama barangan bukti. -Agensi

Artikel Lain