suria

Tak payah guna ‘mixer’! Cara buat biskut arab paling mudah, hanya perlukan 4 bahan

Biskut arab merupakan antara biskut raya tradisional yang menjadi kegemaran ramai. -Foto Threads @cikselayangpandan

MENJELANG sambutan Aidilfitri, ramai yang sudah mula sibuk di dapur menyediakan pelbagai jenis biskut raya untuk keluarga dan tetamu. 

Daripada biskut klasik hinggalah moden, setiap tahun pasti ada idea baharu yang dikongsikan di media sosial bagi memudahkan orang ramai mencuba sendiri di rumah.

Salah satu perkongsian yang mencuri perhatian adalah resipi biskut arab yang cukup ringkas kerana hanya menggunakan empat bahan sahaja. 

Menariknya, resipi ini juga tidak memerlukan penggunaan mesin pengadun (mixer), sekali gus menjadikannya lebih mudah untuk dicuba.

Menurut individu yang berkongsi resipi tersebut, @cheselayangpandan, biskut arab berkenaan merupakan antara biskut wajib yang dihasilkannya setiap kali menjelang hari raya.

Katanya, resipi ini juga sering digunakan untuk tujuan berniaga dan menjadi antara biskut paling laris setiap tahun.

Bahan-bahan:

500 gram tepung kek (superfine)

220 gram tepung naik sendiri (self-rising)

280 gram gula aising

350 gram minyak sapi (ghee)

Cara-caranya:

1. Ayak tepung superfine, tepung self-rising dan gula aising terlebih dahulu.

2. Gaulkan bahan yang telah diayak bersama minyak sapi sehingga menjadi adunan yang lembut.

3. Bentukkan adunan menjadi bulat kecil mengikut saiz yang diinginkan.

4. Bakar pada suhu 140 darjah Celsius selama kira-kira 30 minit atau bergantung kepada ketuhar masing-masing.

Resipi ini sesuai dicuba oleh sesiapa sahaja, terutama mereka yang mahu menyediakan biskut raya sendiri tanpa proses yang terlalu rumit.

Malah, biskut Arab yang terkenal dengan teksturnya yang lembut dan rasa lemak manis ini sememangnya menjadi antara pilihan kegemaran ramai setiap kali Aidilfitri. Selamat mencuba!

Artikel Lain