suria

Wawasan pelan baharu: KPM perkenal rancangan 10 tahun tingkatkan kualiti, keadilan dan kebajikan guru

Anwar (empat dari kanan) melancarkan Pelan Pendidikan Nasional 2026–2035 pada 20 Januari. Bersamanya (dari kiri), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, (dari kanan) Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadilah Yusof.

SASARAN, 'kemenangan pantas' (quick wins), impak jangka panjang dan kelestarian menjadi teras kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPPM 2026–2035), kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, penekanan turut diberikan terhadap aspek kualiti, akses, ekuiti, ketersediaan sumber, kecekapan dan fleksibiliti.

Beliau berkata, setiap program yang dilaksanakan kementerian akan berpandukan strategi teras yang digariskan dalam pelan tersebut.

“Ia mesti meningkatkan kualiti dan keadilan pendidikan untuk murid serta bersifat mampan,” katanya.

Antara matlamat utama pelan baharu ini adalah memastikan kurikulum kebangsaan kekal kompetitif dan menjadi pilihan utama rakyat melalui pembinaan karakter, pendidikan berpaksikan kemanusiaan serta integrasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Pelan ini juga memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mewujudkan peluang kerjaya yang lebih baik.

Isu bahasa turut menjadi keutamaan, khususnya peranan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi dan perpaduan nasional, selain penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa lain.

Selain itu, budaya membaca akan dihidupkan semula di sekolah, institusi pendidikan, keluarga, komuniti dan ekosistem digital, sama ada menerusi perpustakaan, bahan bacaan berkualiti mahupun penggunaan teknologi.

Menurut kementerian, pembacaan berfokus membolehkan murid memahami teks secara mendalam, menganalisis maklumat, menilai kredibiliti sumber dan membentuk hujah berasaskan ilmu, seterusnya melahirkan individu berfikiran kritis yang kompeten dan bertanggungjawab.

Namun, pelan ini bukan sekadar berkisar tentang buku dan teks, sebaliknya turut menitikberatkan pembangunan mental serta sosioemosi murid dan guru, selain mengutamakan akses saksama dan keterangkuman pendidikan dengan memberi peluang pembelajaran kepada semua kanak-kanak Malaysia termasuk murid berkeperluan khas, Orang Asli, Pribumi dan pelajar pintar cerdas.

Pelan ini juga menekankan konsep pendidikan berpaksikan kemanusiaan, yang melihat pembelajaran bukan sekadar memperoleh ilmu dan kemahiran, tetapi membentuk individu berjaya yang adil, beradab dan prihatin.

Kurikulum, pedagogi dan pentaksiran akan digunakan untuk pembangunan intelek, emosi, rohani dan jasmani, dengan guru berperanan sebagai pembimbing serta suri teladan.

Budaya membaca akan dihidupkan semula di sekolah, institusi pendidikan, keluarga dan komuniti.

Budaya membaca akan dihidupkan semula di sekolah, institusi pendidikan, keluarga dan komuniti.

Pelan ini turut memberi tumpuan kepada guru dan usaha menyemarakkan minat mereka dalam profesion perguruan melalui pemerkasaan kerjaya, sokongan kesejahteraan holistik, autonomi profesional yang seimbang serta laluan kerjaya yang jelas.

“Semangat mereka adalah teras keberkesanan sistem pendidikan kerana guru yang mendidik dengan empati dan membimbing murid secara menyeluruh lebih terbuka kepada inovasi serta menjadi contoh terbaik kepada pelajar,” katanya.

Dalam masa sama, komitmen guru berkait secara langsung dengan pembangunan karakter murid melalui pembentukan persekitaran pembelajaran positif, sokongan sosioemosi dan pemupukan minat terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Sehubungan itu, kepimpinan institusi yang berempati serta sistem sokongan yang kukuh amat penting bagi menyemarakkan semangat guru sebagai aset paling bernilai dalam pendidikan negara, kata kementerian.

Walaupun ia merupakan pelan baharu, kesinambungan daripada pelan terdahulu yang berakhir tahun lalu akan diteruskan.

Komitmen guru berkait secara langsung dengan pembangunan karakter murid.

Komitmen guru berkait secara langsung dengan pembangunan karakter murid.

“Kami akan meneruskan apa yang telah berjaya, dan perkara yang perlu diperbaiki atau ditambah baik juga akan dilaksanakan,” kata Mohd Azam.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa, pelan yang dirangka ini tidak sekadar kekal di atas kertas.

Ia berikutan kementerian mempunyai sasaran yang perlu dicapai dan sekiranya gagal, pelarasan akan dibuat bagi memastikan matlamatnya direalisasikan.

Ketika pelancaran Pelan Pendidikan Malaysia (termasuk Pelan Tindakan) pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar semua pihak akan berusaha memperbaiki prestasi mereka seiring teras yang digariskan.

Beliau menambah, ia membuktikan kesungguhan kerajaan membawa perubahan dan memacu transformasi dalam bidang pendidikan demi memastikan kualiti pendidikan meningkat dalam beberapa tahun akan datang seterusnya menjadikan masa depan anak-anak negara lebih cerah.

KPM fokus tingkatkan kualiti pendidikan, infrastruktur dan kebajikan guru

KPM akan melaksanakan beberapa inisiatif menyeluruh bagi mencapai sasaran yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035.

Pendekatan Matriks Pembelajaran atau Learning Matrix bagi murid Tahun Empat yang bermula tahun ini dan pelajar Tingkatan Tiga pada 2027, merupakan inisiatif yang diyakini dapat mengurangkan jurang pendidikan dalam kalangan murid.

Menurut kementerian, penilaian ini memberi peluang kepada murid untuk menerima intervensi sebelum memasuki sekolah menengah.

Ia berikutan, penilaian Tahun Empat merangkumi empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, manakala penilaian Tingkatan Tiga pula mencakupi empat mata pelajaran teras serta Sejarah.

Kedua-dua penilaian ini akan dikendalikan secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan.

Mengulas tentang kurikulum kebangsaan, tambah kementerian, ia akan digunakan sebagai alat untuk memperkukuh identiti ‘Bangsa Malaysia’.

Susulan itu, semua kanak-kanak Malaysia yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan perlu mengambil mata pelajaran BM dan Sejarah yang selaras dengannya.

Peraturan itu terpakai bagi semua jenis sekolah di negara ini, termasuk sekolah antarabangsa mahupun swasta.

Penyesuaian umur masuk sekolah menunjukkan komitmen kerajaan untuk bina asas pembelajaran sepanjang hayat.

Penyesuaian umur masuk sekolah menunjukkan komitmen kerajaan untuk bina asas pembelajaran sepanjang hayat.

Bagi meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan, kerajaan akan memulakan dengan memastikan lima sekolah kebangsaan di bawah setiap pejabat pendidikan daerah mencapai tahap dan kualiti setara dengan ciri ‘Sekolah Inspirasi’ di bawah agenda reformasi sekolah (school reform).

Antara tumpuan utama ialah penguasaan murid dalam BM, Bahasa Inggeris, bahasa tambahan serta mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dalam usaha merealisasikannya, pembelajaran tersebut akan disokong oleh infrastruktur lengkap dan pengurusan sekolah yang cekap.

Maka, setiap sekolah diperuntukkan RM100,000 bagi usaha ini sehinggalah sekolah kebangsaan menjadi pilihan utama rakyat.

Satu lagi inisiatif kementerian ialah membolehkan kanak-kanak Malaysia memulakan pra-sekolah pada usia lima tahun dan memasuki Tahun Satu pada umur enam tahun bermula 2027.

Bagaimanapun, memasuki sekolah rendah pada usia enam tahun masih tidak diwajibkan buat masa ini kerana ia bergantung kepada kesediaan kanak-kanak dan ibu bapa.

Penyesuaian umur masuk sekolah menunjukkan komitmen kerajaan untuk bina asas pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan pencapaian murid dan memastikan setiap kanak-kanak mula belajar pada masa yang tepat dengan sokongan berkualiti.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata murid perlu menjalani ujian diagnostik menyeluruh untuk menilai kesediaan sebelum mereka boleh memulakannya lebih awal.

Sebelum pelaksanaan tahun depan, kementerian akan menjalankan kajian untuk menentukan keperluan infrastruktur bagi menyokong kemasukan pelajar ke Tahun Satu.

Melalui Kurikulum Sekolah 2027, elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkenalkan dari Tahun Satu hingga Tahun Enam. 

Ujar beliau, ia bertujuan mewujudkan asas TVET dalam kalangan bakat muda negara.

Malah pelajar di peringkat menengah rendah (Tingkatan Satu hingga Tiga) juga akan diperkenalkan dengan kandungan lanjutan, kemahiran dan prinsip daripada pelbagai bidang teknologi dan digital.

Sementara itu, pelajar Kolej Vokasional akan mengikuti program penguasaan bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan kebolehpasaran mereka.

Bagi kebajikan guru pula, RM100 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi menaik taraf bilik guru, dengan keutamaan diberikan pada perabot asas, infrastruktur sokongan serta fasiliti kerja yang selamat dan selesa.

Kementerian juga mengakui bahawa beberapa bilik guru di sekolah berada dalam keadaan tidak kondusif untuk bekerja dan memerlukan penambahbaikan segera.

Keadaan itu juga dilihat menjejaskan kesejahteraan, motivasi dan keberkesanan pengajaran serta pembelajaran.

Malah katanya, inisiatif tersebut merupakan pelaburan strategik untuk memelihara kesejahteraan guru, memperkukuhkan profesionalisme dan meningkatkan kualiti pendidikan kebangsaan.

Ia juga dijangka meningkatkan motivasi, kreativiti dan profesionalisme guru, sambil mengukuhkan budaya kerja dan produktiviti.

 

Artikel Lain