suria

Wanita maut dipaksa minum 32 ‘shot’ arak, suspek cuba rogol sebelum panik mangsa tiada respon

Pengambilan alkohol berlebihan boleh menyebabkan kematian. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh mahkamah pada Jumaat selepas didapati bersalah cuba merogol seorang wanita mabuk selepas memaksanya minum minuman keras sehingga mangsa meninggal dunia akibat keracunan alkohol akut.

Mahkamah Daerah Nagoya memutuskan Hiroki Itaya, 44 tahun, mempunyai niat untuk merogol wanita berusia 25 tahun itu apabila membawanya ke sebuah hotel. 

Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman penjara selama 16 tahun terhadap tertuduh.

Menurut fakta kes, Hiroki memaksa wanita berkenaan meneguk 32 'shot' (teguk) tequila ketika mereka berada di sebuah bar di Nagoya pada 7 Mei 2023. 

Selepas itu, dia membawa mangsa ke sebuah hotel dan cuba merogol wanita tersebut sebelum menghentikan perbuatannya apabila menyedari mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dengan pihak pembelaan mendakwa dia membawa wanita itu ke hotel bagi menjaganya.

Namun mahkamah berpendapat niat sebenar tertuduh berbeza kerana dia didapati memaksa mangsa meneguk 10 'shot' minuman keras dalam tempoh 10 minit terakhir mereka berada di bar berkenaan selepas wanita itu menolak pelawaannya untuk ke hotel.

Mangsa kemudian meninggal dunia pada 21 Jun akibat kecederaan otak hipoksik iskemia (HIE) iaitu keadaan apabila aliran oksigen ke otak terhalang, yang berpunca daripada keracunan alkohol akut.

Dalam Islam, pengambilan minuman beralkohol adalah dilarang serta dianggap sebagai perbuatan yang berdosa. -Agensi

Artikel Lain