suria

Tersinggung diminta alih beg, warga emas bolot tempat duduk dalam bas hentak wanita guna telefon

Seorang warga emas didakwa memaki hamun dan memukul wanita di dalam bas. -Gambar media sosial

SEORANG lelaki warga emas didakwa memaki hamun serta memukul seorang wanita menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah bas awam.

Insiden itu bermula apabila wanita berkenaan dikatakan meminta lelaki terbabit meletakkan begnya di lantai kerana ia mengambil dua tempat duduk penumpang.

Bagaimanapun, lelaki warga emas itu dipercayai tersinggung sebelum mula mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan terhadap wanita berkenaan. 

Dalam rakaman video yang tular, kedengaran lelaki itu memanggil mangsa dengan kata-kata hina selain mempersoalkan latar belakang pendidikannya.

Kejadian itu berlaku di Singapura pada Jumaat.

Situasi menjadi lebih tegang apabila wanita tersebut mula merakam kejadian menggunakan telefon bimbitnya.

Lelaki berkenaan kemudian dilihat menghayunkan telefonnya ke arah wanita itu sebanyak dua kali.

Seorang penumpang lelaki yang merakam kejadian kemudian tampil campur tangan dengan menegur tindakan lelaki tersebut sambil memintanya berhenti daripada memukul wanita itu.

Penumpang berkenaan turut menghampiri mangsa untuk memastikan situasinya selamat, dan wanita itu dilaporkan memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan baik.

Hantaran sama turut mendakwa lelaki warga emas itu kemudian menghubungi polis dan mendakwa dirinya dikepung, sebelum cuba merampas telefon wanita terbabit sehingga memaksa beberapa penumpang lain menahannya.

Pihak Pasukan Polis Singapura mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut, namun siasatan lanjut masih dijalankan. -Agensi

Artikel Lain