TINDAKAN seorang duda dan janda yang berdua-duaan di dalam rumah sewa membawa padah apabila mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu operasi di Parit Raja, Batu Pahat di Johor pada Ahad.Lelaki berusia lingkungan 20an itu ditahan selepas JAINJ menerima aduan orang awam sebanyak tiga kali sebelum serbuan dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi dan pasangan itu berjaya dicekup. Menurut kenyataan JAINJ pada Isnin, lelaki terbabit tidak berada di lokasi ketika pemeriksaan dibuat selepas kali pertama aduan diterima.Bagi aduan kedua pula, penguat kuasa sekali lagi ke rumah berkenaan, namun pengadu memaklumkan lelaki itu sudah beredar dalam keadaan tergesa-gesa.Hanya untuk aduan kali ketiga, barulah penguat kuasa berjaya mengesan dan menahan kedua-dua individu terbabit.Sebelum pemeriksaan dijalankan, penguat kuasa mendapati dua kenderaan dipercayai milik lelaki dan wanita berusia 30an itu diparkir berhampiran rumah terbabit.Penguat kuasa kemudian mengetuk pintu hadapan namun tidak dibuka, manakala dua anggota lain ditempatkan di bahagian belakang rumah bagi mengelakkan cubaan melarikan diri."Kira-kira lima minit kemudian, seorang lelaki memakai seluar panjang dan tidak berbaju membuka pintu."Selepas memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan, penguat kuasa menemukan seorang wanita sedang duduk atas sofa dengan memakai seluar panjang dan baju T," katanya.Hasil soal siasat, pasangan berkenaan mengaku bahawa mereka bukan suami isteri.Pemeriksaan di dalam bilik turut mendapati keadaan katil yang tidak terurus selain dua bantal berada di bawah katil.Ketika serbuan dijalankan, adik perempuan wanita itu difahamkan tiada di rumah kerana keluar bekerja. "Lelaki itu kebiasaannya datang ke rumah setiap kali adik pasangannya keluar bekerja atau ke tempat lain."Hasil soal siasat mendapati lelaki itu berstatus duda dan bekerja di Parit Raja manakala wanita terbabit seorang janda dengan bekerja sambilan."Rumah ini disewa oleh wanita itu yang mana dia tinggal berdua bersama adik perempuannya dan pasangan itu juga memberitahu sudah berkenalan sejak lebih setahun lalu," katanya.Kedua-duanya akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.