suria

Ahmad Shah Rizal menang saman fitnah, adik dan anak pengasas Dnars Allahyarham Faziani diarah bayar ganti rugi, mohon maaf

Ahmad Shah Rizal menang saman fitnah terhadap adik dan anak pengasas Dnars.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam memerintahkan adik dan anak kepada pengasas Dnars, Allahyarham Faziani Rohban membayar ganti rugi terhadap Ahmad Shah Rizal Ibrahim susulan tuntutan saman fitnah yang difailkan.

Kedua-dua defendan, Mohd Faizul Rohban dan Irdiena Hakim Jasman, juga diarah melakukan injunksi kekal dengan membuat permohonan maaf secara terbuka di media arus perdana, portal serta akaun Facebook peribadi masing-masing.

"Kedua-dua defenden (termasuk ejen atau pekerja mereka) turut dihalang dari mengeluarkan sebarang penerbitan atau penulisan lanjut dengan tuduhan yang sama atau apa-apa kenyataan yang bersifat fitnah pada masa akan datang," demikian perintah yang diputuskan mahkamah pada Isnin.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati kedua-dua defendan gagal membuktikan kesemua tuduhan jahat yang dilakukan terhadap plaintif.

Dalam pada itu, Ahmad Shah Rizal menegaskan bahawa tindakan perundangan tersebut bukanlah atas dasar kepentingan kewangan.

Sebaliknya beliau menyatakan ia bertujuan membersihkan namanya, mempertahankan maruah dan integriti peribadi serta memelihara nama baik keluarga.

Pada masa sama, katanya, ia dapat menghentikan fitnah yang menjejaskan reputasinya selama ini.

"Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan. 

"Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menyentuh diri saya dan keluarga tetapi turut menjejaskan maruah serta legasi Allahyarham. 

"Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua bahawa fitnah dan tuduhan jahat tanpa asas yang dibina naratifnya mengikut hawa nafsu adalah sangat kejam," katanya.

Terdahulu, pada 21 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan tuntutan saman fitnah yang difailkan suami pengasas Dnars berhubung penerbitan pelbagai tuduhan palsu dan berunsur fitnah.

Fokus utama tindakan saman Ahmad Shah Rizal adalah berkaitan perlakuan curang terhadap isterinya dengan mengadakan hubungan sulit bersama wanita lain semasa Allahyarham Faziani masih hidup.

Beliau juga didakwa bersikap kejam terhadap anak tiri, termasuk kononnya cuba memerangkap anak tiri tersebut melalui laporan palsu selain dituduh tamak dan cuba menyeleweng harta peninggalan Allahyarham.

Terdapat juga dakwaan yang menyatakan beliau cuba melenyapkan bukti dengan menggodam akaun Facebook Faizul serta tidak bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan dan penjagaan anak tiri.

Artikel Lain