suria

Mimpi ngeri 3 beradik, salah seorang hampir diculik ketika berjalan ke pasar malam... Si bongsu dipijak, disepak berkali-kali!

Mangsa (gambar kiri) mengalami luka selepas dicederakan suspek dalam kejadian pada Khamis.

SEORANG bapa berkongsi pengalaman hitam apabila anak perempuannya dicederakan dalam cubaan culik berhampiran kediaman mereka di Rawang, Selangor, pada Khamis.

Menurut pemilik akaun Face Book Nett Adnan, insiden berlaku kira-kira pukul 6.50 petang di Taman Bakawali, Bukit Sentosa 3 apabila tiga anaknya berjalan kaki sejauh kira-kira 500 meter ke pasar malam berhampiran rumah.

Kebiasaannya mereka tidak dibenarkan keluar sendiri, namun pada hari kejadian Adnan dan isteri kurang sihat lalu mengizinkan anak-anak keluar bertiga.

"Aku izinkan mereka pergi sendiri. Siapa sangka taman perumahan yang selalunya aman, tak pernah ada apa-apa jenayah sepanjang duduk sini tiba-tiba terjadi insiden ni dekat anak sendiri," ceritanya.

Cerita Adnan, ketika melalui sebuah rumah di kawasan tersebut, anak bongsunya, Raisha Falisha, 9, tiba-tiba dikejar seorang lelaki sebelum ditarik masuk ke dalam rumah.

Lantaran itu abang terus mengejar dan cuba menyelamatkan adiknya yang ketika itu sudah ditarik hingga hampir dibawa naik ke tingkat atas rumah individu terbabit.

Terdapat kesan cekik di bahagian leher mangsa.

Jeritan meminta tolong mencetuskan kemarahan lelaki berkenaan yang kemudian bertindak ganas dengan memijak, menendang dan mencekik kanak-kanak itu sehingga patah gigi.

"Apabila si abang menjerit minta tolong, lelaki ni mengamuk dengan pijak, sepak dan tendang kepala adik berkali-kali. Akhirnya dia cekik si adik. Masa ni mujur ada jiran yang sedar.

"Mereka terus selamatkan adik. Kalau lambat sikit, tak tahu apa nasib si adik. Alhamdulillah sangat. Terima kasih orang baik iaitu jiran-jiran dan orang awam," tulisnya lagi dalam hantaran tersebut.

Dalam perkongsian sama, Nett turut memuat naik beberapa foto memaparkan situasi selepas anaknya diselamatkan serta lelaki terbabit yang berjaya ditahan pihak polis.

Dapat dilihat kesan darah pada baju yang dipakai mangsa.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala dua lagi adik-beradik mangsa dilaporkan masih trauma dengan kejadian tersebut.

Susulan kejadian itu, Adnan mengakui terdapat kelalaian di pihaknya sebagai ibu bapa dan berharap insiden berkenaan menjadi pengajaran kepada semua agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak walaupun berada berhampiran rumah.

Dia turut menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala dadah yang didakwa antara punca perilaku tidak waras individu terbabit.

"Kepada semua orang tolong berhati-hati. Jangan biarkan anak berjalan sendiri tanpa pengawasan walaupun dekat dengan rumah sebab sekarang tak boleh jangka apa yang akan berlaku. Jaga famili.

"Yang mana ada anak-anak yang meningkat dewasa tolong pantau. Jangan bagi anak-anak terjebak dengan dadah jenis Ice, Mushroom dan ketum," katanya.

Artikel Lain