suria

[V] Dijemput Ilahi selepas umrah... Jemaah Kelantan meninggal dunia atas pesawat - “Allah sayang arwah, meninggal dalam wuduk”

Arwah meninggal dunia ketika dalam penerbangan pulang ke tanah air setelah selesai mengerjakan umrah.

TULAR di media sosial sebuah video memaparkan seorang jemaah wanita yang dipercayai meninggal dunia ketika dalam penerbangan pulang ke tanah air selepas menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya.

Menurut pengguna akaun TikTok Azurnzki, ibu saudaranya itu berangkat ke Tanah Suci bersama ahli keluarga lain dan menghabiskan sembilan hari beribadah di Makkah dan Madinah.

Menurutnya, arwah berada dalam keadaan sihat, aktif beribadah serta tidak melepaskan peluang menziarahi setiap lokasi yang dikunjungi jemaah sepanjang berada di sana.

"Mok (panggilan ibu saudara) selalu pakai baju putih di sana. Rupanya pengakhiran mok juga dengan warna putih.

"Allah sayang mok. Terima kasih Ya Allah bagi masa sembilan hari yang tak akan dilupakan bersama mok.

"Dia tak sakit, dia yang paling kuat. Semua tempat ziarah dia nak pergi. Arwah beriktikaf dan solat di masjid," tulisnya di media sosial.

Dalam pada itu Azurnzki turut berkongsi kebaikan arwah sepanjang hayatnya yang disifatkan sebagai seorang pemurah dan penyabar tatkala menguruskan keluarganya yang sakit.

"Mok suka sangat bersedekah. Dia ada anak kurang upaya (OKU). Jaga anaknya dekat 40 tahun dan arwah suami yang terlantar sakit selama 10 tahun.

"Walaupun mok tak ada duit tapi dia sentiasa bersedekah dan bersyukur," katanya menceritakan mengenai arwah.

Terdahulu pemilik akaun TikTok Lauk banyak yang menyediakan perkhidmatan menguruskan jenazah berkongsi video keadaan di dalam pesawat ketika arwah disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, ketika itu ahli keluarga cuba mengejutkannya untuk menunaikan solat Subuh kira-kira dua jam sebelum pesawat mendarat di Malaysia.

"Arwah (berlepas) dari Madinah setelah selesai buat umrah bersama 40 orang jemaah. Semasa buat umrah, Allah bagi kesihatan baik dan boleh menziarahi semua tempat.

"Semasa atas kapal terbang masuk waktu Subuh, arwah mengambil wuduk untuk solat. Tetapi Allah sayangkan arwah. Meninggal dalam keadaan berwuduk atas kerusinya," jelasnya.

Jenazah kemudian dibawa ke sebuah hospital di Cyberjaya untuk urusan mandi dan kafan sebelum diterbangkan pulang ke Kelantan untuk dikebumikan di Pasir Tumboh.

Artikel Lain