SEORANG pemuda mendakwa dirinya mengalami kecederaan akibat didera oleh bekas majikan yang juga selebriti kecergasan terkenal.
Menurut Afiq Zakwan Johari, 27, dia memendam penderitaan itu selama lebih enam bulan, namun nekad bersuara dengan mendakwa dipukul menggunakan kabel treadmill pada 16 Jun lalu.
"Saya dah tak tahan,” dia dipetik sebagai berkata menerusi laporan New Straits Times.
Dakwa Afiq lagi, kejadian itu turut menyebabkan tubuhnya lebam dan bertukar menjadi hitam kebiruan.
Menurut Afiq yang bekerja sebagai pembantu peribadi, pelaku merupakan pemilik pusat kecergasan yang berumur 37 tahun dan terkenal dalam kalangan selebriti.
Tambahnya, pelaku turut bergiat sebagai jurulatih kecergasan dan terkenal kerana tubuh sasa, malah sering berkongsi kata-kata motivasi di media sosial.
“Dia mudah naik angin dan bila marah, dia pukul dengan kuat. Dia guna apa saja yang ada... kabel, tangan kosong...” dakwa Afiq.

Mangsa sudah membuat dua laporan polis. -Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Menurut Afiq, dia menerima layanan baik ketika menyertai pusat kecergasan itu pada September 2023.
Malah, dia berkata majikannya itu kerap memberi kejutan berupa bonus kepada pekerja.
“Dia panggil saya ‘orang kanan’ dia. Mula-mula dia sangat baik, pemurah pula tu. Namun menjelang hujung tahun lalu, semuanya mula berubah. Dia mula marah-marah atas perkara kecil,” dakwanya lagi.
Selain di pejabat, Afiq mendakwa dia juga pernah dipukul beberapa kali, termasuklah di rumah jurulatih itu serta di hadapan kakitangan lain.
Selain Afiq, sekurang-kurangnya empat lagi bekas pekerja lain mendakwa pelaku berdepan masalah panas baran walaupun pada luarannya dilihat sebagai individu yang berjaya.
Afiq juga mendakwa terdapat pekerja lain yang berdepan nasib serupa dengannya.
"Seorang rakan saya pernah cuba buat laporan tahun lepas, tapi tarik balik kemudian,” kata Afiq sambil menambah dia enggan lagi berdiam diri.
Selepas berbincang dengan keluarganya, dia berhenti kerja dan membuat laporan polis.
Laporan pertama dibuat pada 17 Jun di Balai Polis Bukit Jelutong dan laporan susulan pada 2 Julai.
Susulan tindakan Afiq, empat lagi bekas pekerja tampil membuat aduan serupa dan berkongsi pengalaman mereka yang turut menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi.
Menurut NST, bekas majikan Afiq ketika dihubungi menafikan semua dakwaan dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah.
Individu itu berkata dia juga sudah membuat laporan polis.


