SEORANG wanita dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang pada Jumaat atas tuduhan bersubahat sehingga mendorong lelaki itu merogol anak perempuannya yang berusia 12 tahun, pada 2024.
Bagaimanapun, warga emas lelaki berumur 61 tahun dan wanita berusia 37 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Mengikut pertuduhan, peniaga nasi lemak itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Taman Seraya, Ampang pada pukul 4 petang, sekitar pertengahan tahun lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu restu kekasih warga emas rogol anak gadis sendiri! Atur pertemuan di hotel
Sementara itu, ibu kandung mangsa pula didakwa bersubahat dengan teman lelaki merogol anaknya yang mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatannya di lokasi dan masa yang sama.
Oleh itu, pengawal keselamatan itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 375 (g) kanun sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira hubungan mereka.
"Pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh lelaki memandangkan ada hubungan dengan tertuduh wanita, mangsa adalah anak kandung kepada wanita itu yang dikhuatiri ada gangguan terhadap mangsa.
"Bagi tertuduh wanita pula, pendakwaan tidak menawarkan jaminan memandangkan mangsa menetap bersama ibunya dan dikhuatiri ada gangguan di masa akan datang," katanya.
Muhammad Hairuliqram turut mengesahkan mangsa kini tinggal berasingan dan menetap bersama ibu saudara.
Tertuduh lelaki yang tidak diwakili peguam dilihat beberapa kali mahu mencelah untuk memberitahu sesuatu kepada Norshila.
"Saya dituduh dalam kes rogol tapi dalam tahanan selama tujuh hari saya tidak diambil DNA (asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya.
Norshila kemudian meminta tertuduh lelaki mengemukakan perkara itu ketika perbicaraan kelak.
Ketika ditanya Norshila, adakah kedua-dua tertuduh mempunyai penjamin yang hadir, pasangan kekasih itu mengesahkan tiada ahli keluarga atau penjamin hadir untuk mereka.
Mendengar pengesahan itu, Norshila kemudian menetapkan 7 Ogos ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.