MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Insolvensi) pada Khamis mengisytiharkan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie sebagai muflis.
Keputusan itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli susulan kegagalan pereka fesyen itu membayar pinjaman persahabatan (friendly loan) sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan, berjumlah RM5.28 juta.
Petisyen pemiutang telah dikemukakan dan difailkan oleh syarikat Cekap Air Sdn Bhd pada 20 November 2024.
Menerusi petisyen itu dinyatakan bahawa Jovian yang juga bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaku penghutang penghakiman, dalam masa enam bulan sebelum tarikh petisyen berkenaan, telah melakukan perbuatan kebankrapan, iaitu gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2024.
Ia sekali gus menyatakan Jovian, sehingga 21 Mei 2024 telah berhutang kepada Cekap Air sebanayk RM5,284,340.66 termasuk kadar faedah iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April 2024 melalui kes saman utama.
Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili syarikat berkenaan, berkata pihaknya memfailkan Notis Kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Penghakiman terus merujuk kepada suatu permohonan yang difailkan oleh pihak yang memulakan tindakan (plaintif) untuk mendapatkan penghakiman daripada mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.
Siti Nur Athirazatti berkata, selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan, pihaknya kemudian memfailkan Petisyen Pemiutang, yang dibenarkan mahkamah.
"Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah," katanya.
Pada 2 April 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan memerintahkan Jovian untuk membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas membenarkan penghakiman terus yang dimohon syarikat itu.
Ia susulan syarikat berkenaan pada 16 Mei 2023 memfailkan saman terhadap Jovian kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.
Dalam pernyataan tuntutan, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei dan pinjaman berkenaan dibuat atas permintaan lisan pada 25 Februari 2022.
Susulan itu, wang berkenaan dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.
Menurut Cekap Air, firma guaman terbabit mengesahkan penerimaan wang itu atas arahan Jovian selaku defendan.
Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus melalui saman utama pula akan didengar 15 September depan.


