suria

Graduan istimewa! 22 kali kimoterapi, 15 sesi radioterapi tak halang gadis hidap kanser tahap 4 tamat pengajian

Nur Syahidatunnajwa menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Rendah.
1 / 1

DI sebalik ujian berat menghidap kanser limfoma tahap empat, seorang graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) berjaya membuktikan bahawa kesungguhan dan semangat juang mampu mengatasi segala kekangan dan halangan.

Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim menjadi inspirasi kepada masyarakat apabila menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Rendah di IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang, meskipun sedang bergelut dengan penyakit yang mengancam nyawa.

Menerusi perkongsian di TikTok @shafiqalsukri, Nur Syahidatunnajwa digelar 'graduan istimewa' kerana semangat kentalnya untuk menamatkan pengajian [Tonton Video].

Menurut pengacara majlis,  Nur Syahidatunnajwa telah menjalani 22 sesi rawatan kemoterapi dan 15 sesi radioterapi, dan kini masih meneruskan rawatan susulan demi melawan kanser.

“Namun kerana semangat juang dan komitmen yang jitu, beliau hadir sebagai simbol ketabahan dan inspirasi buat kita semua bahawa penyakit itu bukan penghalang untuk mencapai kejayaan,” kata pengacara majlis.

Gadis itu kemudian menerima tepukan gemuruh seluruh dewan ketika namanya diumumkan untuk menerima skrol pada majlis konvokesyen yang diadakan di Bangi Avenue Convention Center, Selangor pada Selasa.

Seorang pengguna TikTok dipercayai adik kepada Syahidatunnajwa membuat perkongsian menceritakan bahawa sepanjang tempoh rawatan, kakaknya tidak pernah merungut atau mengeluh, malah terus berusaha mencapai cita-cita untuk bergelar guru.

"Tahniah kakakku, perjuanganmu terbayar selama ini. Tak pernah dengar keluhan dari mulut sewaktu tempoh rawatan sampai sekarang.

"Malah dia sabar dan tawakal sepenuhnya pada Allah. Sanggup dia memandu dari Kedah ke Selangor demi menggenggam segulung ijazah yang selama ini dia inginkan," katanya.

Artikel Lain