MAJLIS Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia kali ke-5 pada Isnin menjadi pentas meraikan lebih 1,000 graduan yang berjaya menamatkan Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia, sekali gus melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan mereka.
Di sebalik majlis gemilang yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor itu, terselit kisah luar biasa tiga graduan yang menjadikan program ini sebagai batu loncatan untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
Graduan pertama, Raidi Hamizan Rozki, 18, dari Setapak mengakui gembira dan bersyukur dan menyifatkan penyertaannya selama 18 bulan dalam program itu menjadi pemangkin semangat untuk dirinya kembali berbakti kepada masyarakat suatu hari nanti.
"Saya tahu mengenai Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia ini menerusi guru kaunseling sekolah. Dia maklumkan menerusi grup WhatsApp sekolah. Kemudian ibu bapa suruh saya mohon program ini.
"Memang tak menyesal masuk sebab ada pelbagai faedah. Saya belajar banyak perkara termasuk kebersihan makanan, aspek halal, pengurusan wang, komunikasi dengan pelanggan dan pelbagai lagi ilmu bermanfaat. Selepas tamat program ini, saya rancang untuk sambung belajar lagi.
“Saya juga bercita-cita untuk bergelar tenaga pengajar Akademi Vokasional McDonald’s suatu hari nanti kerana saya mahu berkongsi balik ilmu yang sudah saya pelajari," ujarnya yang juga penerima Anugerah Perantis Cemerlang Keseluruhan dalam istiadat konvokesyen itu.

Wak Jenny mahu mengajak komuniti Orang Asli untuk turut serta menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia.
Graduan kedua yang juga Orang Asli suku kaum Semai, Wak Jenny Azman, 21, berkata Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia memberi peluang untuk dia membina masa depan yang lebih cerah.
"Saya tahu mengenai program ini ketika mengikuti satu kem motivasi. Saya bersyukur kerana hidup saya berubah selepas menyertai program ini. Kalau dulu saya kenal suku kaum saya saja, sekarang saya kenal banyak lagi kaum lain di Malaysia, sekali gus membuka mata saya untuk mempelajari budaya baharu.
"Saya menyertai akademi ini pada September 2022. Awalnya agak takut sebab saya tak pernah berjauhan dengan keluarga, tapi saya cabar diri. Sekarang saya dah bergelar sebagai crew leader di McDonald's Putra Heights.
"Saya gembira sebab dapat banggakan ibu bapa dan boleh bantu kewangan mereka. Maklumlah bapa saya hanya bekerja sendiri dengan bercucuk tanam," ujar Jenny sambil menambah dia turut mempunyai beberapa kenalan Orang Asli ketika mengikuti program itu.
Jenny juga merancang untuk terus bekerja dengan McDonald's dan mahu menggalakkan anak muda Orang Asli lain untuk menyertai Akademi Vokasional McDonald’s bagi menimba ilmu dan pengalaman demi masa depan yang lebih cemerlang.
Seorang lagi graduan, Nur Farrah Adibah Razali, 21, wajar diangkat sebagai inspirasi atas kejayaannya menamatkan latihan walaupun dia merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran.

Pelajar yang diraikan berarak masuk ke dewan sempena Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.
Gadis asal Kuala Berang, Terengganu itu mendedahkan dia mendapat tahu tentang Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia melalui maklumat yang disalurkan oleh guru di sekolahnya.
"Cikgu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah tanya nak masuk tak program ini sebab ia menawarkan sijil. Bila saya buat semakan, saya dapat tahu program ini menyediakan banyak kemudahan buat peserta seperti elaun dan asrama, jadi saya bersetuju untuk menyertainya.
"Saya juga ada kawan-kawan OKU dalam program ini. Ilmu yang saya pelajari bukan saja digunakan untuk bekerja di McDonald's, malah boleh diaplikasikan dalam kehidupan juga. Senior-senior juga banyak bantu beri tunjuk ajar," ujarnya yang gembira dapat menamatkan program berkenaan dengan jayanya.
Mengenai masa depannya, Nur Farrah berkata dia mahu terus bekerja dengan McDonald's kerana keterbukaan syarikat itu yang bukan sahaja menerima, malah memberi banyak manfaat kepadanya yang berstatus OKU.
"Saya rasa susah saya nak kerja di tempat lain. Di McDonald's pula, mereka menyediakan peluang untuk OKU," ujarnya yang menyertai akademi itu pada Disember 2022 dan kini bertugas di cawangan McDonald's BHPetrol, Jalan Kewajipan, Subang Jaya.
Ketiga-tiga perantis itu ditemui mStar selepas menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dianugerahkan kepada lebih 1,000 graduan pada Majlis Konvokesyen Kali ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.

Rubiah menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang yang berjaya menamatkan pengajian di Akademi Vokasional McDonald’s.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia merupakan sebuah kurikulum yang dibangunkan bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK),Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia juga sebuah usaha memartabatkan belia melalui pendidikan vokasional, ditubuhkan untuk memberi latihan kepada perantis seawal lepasan Tingkatan 3 bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor perkhidmatan makanan.
Jelas Rubiah, program itu bertujuan menyokong agenda TVET negara dalam melahirkan tenaga kerja berkebolehan tinggi dan berorientasikan industri yang mana ia menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran dan 30 peratus pembelajaran teori di dalam kelas.

Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah para pelajar selepas mereka berjaya menamatkan Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia.
"Inilah yang kita harapkan kerana bukan sahaja kita dapat mencerdikkan dan memahirkan seseorang insan, malah mengubah sosioekonomi hidup mereka daripada keadaan yang sukar kepada yang lebih baik.
"Pendekatan ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap anak muda mempunyai akses kepada pendidikan yang relevan dan boleh dipasarkan.
"Dalam pada itu, kita juga boleh memastikan ekonomi rakyat juga diperkukuhkan dan dalam masa yang sama memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi latihan dan industri," ujarnya.
Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar pula, Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia membuktikan McDonald’s bukan sekadar menawarkan pekerjaan semata-mata, tetapi juga sebuah institusi pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) yang boleh memperkasakan kemahiran dan kerjaya anak-anak muda.

Majlis Konvokesyen Kali ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s berlangsung dengan gilang-gemilang di IDCC Shah Alam pada Isnin.
"Kami telah melahirkan lebih 5,000 graduan sejak tujuh tahun akademi ini ditubuhkan dan 80 peratus daripada mereka memilih untuk membina kerjaya yang bermakna bersama kami," ujarnya.
Apa yang menariknya, sepanjang mengikuti program ini, perantis ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia merangkumi elaun bulanan, kemudahan tempat tinggal, makan minum, faedah insurans dan perubatan serta sumbangan perlindungan PERKESO dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan sekitar RM40,000 untuk seorang perantis, sepanjang mereka mengikuti program ini.
Perantis juga tidak dikenakan sebarang ikatan kontrak perkhidmatan selepas tamat belajar.
“Sebahagian daripada pekerja kami datang daripada keluarga B40, asnaf, OKU, Orang Asli dan mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran. Selepas menyertai program ini, mereka dapat meningkatkan potensi diri dan kerjaya sehingga mencapai jawatan pengurus restoran dan pakar industri di ibu pejabat.

Azmir berkata McDonald’s bukan sekadar menawarkan pekerjaan, tetapi juga sebuah institusi pembelajaran sepanjang hayat yang memperkasakan kemahiran dan kerjaya anak-anak muda.
"Kami amat bangga dengan pencapaian ini kerana bukan sahaja ia memberi manfaat kepada syarikat dari sudut tenaga kerja, tetapi dapat mengubah keadaan sosioekonomi mereka untuk keluar dari kitaran kemiskinan,” tambah Azmir.
Dalam pada itu, satu lagi usaha pembangunan bakat McDonald’s Malaysia iaitu Hamburger U, sebuah institusi latihan dan kemahiran dalaman, menawarkan kursus pentadbiran, kepimpinan, dan pengurusan restoran yang memfokuskan bakat dari kumpulan pekerja semasa dan pelajar-pelajar dari universiti yang mempunyai kerjasama dengan McDonald’s Malaysia.
Antara kolaborasi universiti-industri yang telah diwujudkan adalah Program Perantis Pengurusan (MAP), Program Kebolehpasaran Kerja Graduan (GEP) dan Program Perantisan Industri (IP).
Dalam masa yang sama, McDonald’s Malaysia juga mempunyai kolaborasi Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda melalui pembelajaran secara 3 Tahun Universiti – 1 Tahun Industri (3U1i), yang mana sejurus tamat belajar, graduan akan mendapat tawaran kerja serta-merta.
Bagi belia yang berminat menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s, layari bahagian kerjaya di https://www.mcdonalds.com.my/ atau e-mel kepada [email protected].


