SEORANG ejen pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Rabu atas pertuduhan memiliki dan menyebarkan gambar lucah serta membuat ugutan jenayah terhadap madunya yang juga seorang guru, Mac lalu.
Tertuduh, Herni Sofini Omar membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Utman Abd Ghani sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, serta minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita berusia 53 tahun itu didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 45 tahun (pengadu) dengan menyebarkan gambar lucahnya melalui kiriman surat.
Herni Sofini didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap guru tersebut melalui surat tanpa nama yang menyembunyikan identitinya pada masa, tempat dan tarikh sama.
ARTIKEL BERKAITAN: Ejen insurans direman selepas ugut, sebar gambar bogel cikgu di Melaka
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, selain hukuman yang ada diperuntukkan bagi kesalahan itu oleh Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Sayang Selasih dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang pada 27 Mac lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, Herni Sofini pada 6 Jun lalu, kira-kira pukul 3 pagi bertempat di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didapati memiliki gambar lucah milik pengadu di dalam telefon bimbitnya.
Ibu empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM24,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Namun, peguam Baharudin Baharim merayu jaminan RM4,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan kanser selain telah ditinggalkan suami kerana kes berkenaan.
Selain itu, tertuduh juga menanggung empat anak dengan tiga daripadanya bersekolah.
"Pembelaan juga memohon kepada mahkamah perintah agar pihak pengadu tidak membuat sebarang kenyataan di media sehingga perbicaraan kes itu selesai," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan sementara dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.


