suria

3 beranak reput dalam rumah, mayat anak ada kesan torehan pada lengan

Tiga mayat reput ditemukan di sebuah rumah di Taman Kristal, Seremban.

BAU kurang menyenangkan dari sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, Seremban, Negeri Sembilan membawa kepada penemuan mayat tiga sekeluarga pada petang Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung bau busuk dari rumah itu.

Bertindak atas maklumat berkenaan, polis dan bomba pergi ke lokasi dan memotong kunci mangga pagar rumah terbabit sebelum menemukan tiga mayat di dalamnya.

"Pemeriksaan kemudian menemukan tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur.

"Siasatan mendapati ketiga-tiga mayat adalah ahli keluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun," ujarnya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran bau busuk... Mayat ibu, anak umur 2 tahun ditemukan reput dalam rumah berkunci

Tambahnya, mayat pasangan suami isteri itu tidak menunjukkan tanda mencurigakan.

Namun, pemeriksaan forensik mendapati terdapat kesan torehan pada lengan kanan anak lelaki pasangan itu.

Polis turut menemukan empat bilah pisau dengan kesan darah serta pelbagai jenis ubat yang telah digunakan di atas meja di ruang tamu rumah itu.

Mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat

 

Artikel Lain