MAYAT seorang wanita bersama anak perempuannya ditemukan dalam keadaan reput di sebuah rumah di apartment Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 4.41 petang itu, polis meminta bantuan anggota bomba untuk membuka pintu kediaman di tingkat sembilan terbabit kerana berkunci dari dalam.
Mayat wanita tempatan berusia 40 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu ditemukan di dalam bilik utama unit didiami mereka.
Beberapa jenis ubat dipercayai digunakan bagi merawat individu mengalami tekanan perasaan turut dijumpai polis di dalam rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu selepas terhidu bau busuk dipercayai dari rumah tersebut.
"Pemeriksaan di tempat kejadian menemui mayat wanita dan kanak-kanak perempuan di bilik utama dalam keadaan reput.
"Berdasarkan dokumen pengenalan si mati mendapati kedua-duanya berusia 40 dan dua tahun serta dipercayai mempunyai hubungan ibu dan anak.
"Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Rozak berkata kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Mangsa dikatakan tinggal di rumah tersebut tanpa pekerjaan tetap dengan kali terakhir dilihat ahli keluarga pada hujung Mei lalu.


