suria

Suspek utama kes bunuh pelajar universiti Cyberjaya ada kad akses kondominium... Pernah datang bermalam di rumah

Tiga suspek kes pembunuhan seorang pelajar universiti di Cyberjaya direman tujuh hari sehingga 3 Julai ini.

SALAH seorang daripada tiga suspek wanita yang ditahan berkaitan kes pembunuhan penuntut universiti swasta di Cyberjaya, Maniishhapriet Kaur Akhara, 20, merupakan rakan serumah mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati rakan serumah tersebut memberikan kunci dan kad akses unit kondominium kepada teman lelakinya, yang merupakan suspek utama pembunuhan. 

“Suspek utama bermalam di unit tersebut selepas diberikan kad akses dan kunci oleh kekasihnya yang merupakan rakan serumah mangsa, sementara dia (rakan serumah) pulang ke kampung halaman.

"Suspek mempunyai niat jahat terhadap mangsa, jadi apabila ada peluang pada malam kejadian, suspek memukul mangsa menggunakan objek dan sehingga menyebabkan kematian mangsa," katanya dalam sidang media di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar universiti di Cyberjaya mati dibunuh, barang peribadi termasuk kad ATM lesap!

Tambahnya, laporan patologi tidak menunjukkan sebarang tanda rogol pada tubuh badan mangsa.

"Kami masih menyiasat lebih lanjut untuk mencari sebarang bukti serangan seksual.

"Kami juga sedang menyiasat motif di sebalik pembunuhan itu," katanya.

Menurut Hussien, suspek Utama turut mencuri beberapa barang milik mangsa, termasuk kad ATM, komputer riba dan telefon bimbit.

"Kami mendapati suspek telah mengeluarkan RM200 menggunakan kad ATM milik mangsa," tambahnya.

Beliau berkata polis akan melengkapkan kertas siasatan tidak lama lagi dan merujuknya kepada timbalan pendakwa raya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa seorang lelaki dan tiga wanita berusia 19 dan 20 tahun, ditahan di Johor Bahru dan Gemencheh pada 26 Jun dan 27 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek ditahan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis dibuat berhubung penemuan mayat mangsa. 

Maniishapriet, seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi ditemukan mati di sebuah unit kondominium  di Cyberjaya dengan kesan kecederaan pada badan oleh rakannya kira-kira pukul 10 pagi, 24 Jun lalu.

Artikel Lain