BEBERAPA barangan milik penuntut wanita yang didakwa maut akibat dibunuh di asrama pelajar di Cyberjaya pada Selasa lalu dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, barangan yang hilang termasuk komputer riba, telefon bimbit, kad ATM, dan wang tunai.
"Kami sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan meminta ruang serta kerjasama daripada orang ramai untuk meneruskan langkah selanjutnya.
"Pada masa ini, kami sedang merakam percakapan saksi dan mengumpul bukti tambahan," katanya.
Tambah beliau, usaha menjejaki suspek sedang giat dijalankan.
Dalam pada itu, Norhizam menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya terus menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supritendan Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih,” katanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut mengesahkan pihaknya sudah menerima rakaman kamera pengawasan (CCTV) daripada pelbagai sumber dan beberapa lokasi berhampiran.
"Rakaman itu akan digunakan untuk mengenal pasti suspek dan bagi mengecilkan lokasi di mana kemungkinan suspek berada," katanya.
Sebelum ini dilaporkan mangsa yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi ditemukan mati di sebuah asrama pelajar.
Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan yang ketara pada badan oleh rakannya kira-kira pukul 10 pagi Selasa.
Rakannya kemudian segera memaklumkan kepada polis.
Dia tinggal bersama lima pelajar lain.
Namun kesemuanya pulang bercuti pada 21 Jun lalu dan meninggalkannya sendirian di asrama. -The Star


