suria

Data Telefon Bimbit tak ceroboh privasi orang ramai, ini penjelasan pakar keselamatan siber

Data Telefon Bimbit penting untuk perancangan infrastruktur digital negara. -Gambar hiasan

KEKECOHAN mengenai program Data Telefon Bimbit (MPD) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mencetuskan perdebatan umum dengan pelbagai persoalan dibangkitkan berkaitan privasi, keselamatan siber dan peranan kerajaan dalam mengurus data.

Pakar Keselamatan Siber dan Pengerusi Majlis IPv6 APAC, Prof Emeritus Dr Sureswaran Ramadass, berkata penting untuk rakyat Malaysia diberikan penjelasan teknikal mengenai isu ini supaya mereka dapat membezakan antara spekulasi dan fakta yang sahih.

"Data yang dikumpul di bawah MPD ini adalah dalam bentuk agregat, telah dianonimkan dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti (PII).

"Data ini hanya merangkumi metadata umum seperti kekuatan isyarat, corak penggunaan rangkaian, kod kawasan lokasi dan metrik bukan peribadi lain yang boleh membantu pihak pengawal selia menilai prestasi rangkaian mudah alih, jurang digital dan kesiapsiagaan tindak balas kecemasan," ujarnya.

Jadi kata Dr Sureswaran, adalah tidak tepat dan mengelirukan dari sudut teknikal untuk menyamakan program ini dengan pemantauan secara pencerobohan.

Malah, dia berkata data yang dikumpul ini jauh lebih umum dan tidak terperinci berbanding metadata yang lazimnya dikutip oleh platform global seperti Google, Apple, Meta dan pelbagai aplikasi mudah alih lain bagi tujuan analisis, pengoptimuman perkhidmatan dan pengiklanan bersasar.

Antara lain, program ini sama sekali tidak mengutip nama, nombor telefon, log panggilan, sejarah pelayaran atau kandungan mesej.

Dr Sureswaran berkata penting untuk rakyat Malaysia diberikan penjelasan teknikal agar mereka dapat membezakan antara spekulasi dan fakta sahih.

Tambahnya lagi, pelaksanaan MPD juga selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, beroperasi dalam kerangka perundangan yang ketat.

"Secara umum, syarikat telekomunikasi (MNO) sangat berhati-hati dalam perkongsian data mereka, namun mereka tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama rapat dengan MCMC dalam projek ini.

"Selain itu, akses terhadap metadata ini terhad kepada alat analitik tertentu di dalam Suruhanjaya sahaja, tanpa sebarang pendedahan kepada pihak ketiga atau penggunaan komersial.

"Ini menjadikan set data tersebut sangat berbeza daripada jenis data yang lazimnya terdedah kepada risiko penyalahgunaan atau pengewangan dalam ekosistem teknologi komersial," jelas Dr Sureswaran.

Dari sudut teknikal dan dasar pula, Dr Sureswaran berkata program MPD ini sangat penting untuk perancangan infrastruktur digital negara.

Online shopping and Internet Money Payment Transaction Technology. Modern graphic interface showing e-commerce retail store for customer to purchase product on the website and pay by online transfer.

Teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia hari ini. -Gambar hiasan

"Dengan Malaysia menuju ke arah pelaksanaan 5G secara lebih meluas dan inisiatif bandar pintar, pengawal selia memerlukan data masa nyata yang berasaskan bukti untuk menilai liputan rangkaian, kepadatan peranti, dan mobiliti penduduk bagi merancang agihan sumber, spektrum, dan kesiapsiagaan kecemasan.

"Sebagai contoh, ketika bencana alam atau krisis kesihatan awam, data ini dapat membantu pihak berkuasa bertindak lebih cepat dan tepat dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.

Menurut Dr Sureswaran, beberapa negara maju seperti Korea Selatan, Finland dan Estonia sudah lama melaksanakan program data anonim seperti ini dengan manfaat awam yang ketara, tanpa isu pencabulan privasi.

Dalam pada itu, Dr Sureswaran berkata naratif negatif tentang program ini berpunca dairpada salah faham serta kurangnya pengetahuan orang ramai mengenai analitik data peringkat rangkaian.

"Tanpa konteks yang betul, rakyat mudah digerakkan untuk mempercayai wujudnya “negara pemantau”, walhal dari sudut teknikal tiada risiko sebegitu wujud dalam program ini

"MPD ini bukan satu bentuk pencerobohan privasi, sebaliknya merupakan alat penting dalam usaha membina negara digital yang maju, dengan perlindungan terhadap privasi pengguna dan keyakinan awam terpelihara.

"Kita tidak harus menyamakan tadbir urus yang baik dengan pencerobohan, atau langkah berjaga-jaga dengan paranoia," katanya lagi.

Artikel Lain