suria

Jabatan Peguam Negara sudah fail notis rayuan pembebasan Syed Saddiq

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada Rabu atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.

SEHARI selepas penghakiman Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Khamis memfailkan notis rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Menerusi satu kenyataan, AGC berkata notis berkenaan difailkan selepas meneliti dan menimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan dan ia selaras dengan proses kehakiman.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq bebas, mahkamah ketepikan sabitan dan hukuman seleweng dana Armada

"Jabatan ini ingin menegaskan bahawa proses rayuan adalah sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah.

"la adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

"Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus," katanya.

Mahkamah Rayuan pada Rabu melepas dan membebaskan Syed Saddiq yang juga  Ahli Parlimen Muar atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara membenarkan rayuan bekas Presiden Muda itu terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Turut bersidang Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Artikel Lain