suria

Duta Iran ulas situasi semasa konflik Iran-Israel, tutup Selat Hormuz bukan agenda Tehran

Valiollah Mohammadi Nasrabadi mengulas mengenai konflik di Asia Barat. -RAJA FAISAL HISHAN/The Star

PERTEMPURAN dua negara antara Iran dan Israel mencetuskan kebimbangan global terhadap keselamatan rantau Timur Tengah yang semakin tidak menentu.

Kedua-dua negara saling menuding jari menyalahkan satu sama lain berhubung serangan peluru berpandu yang mengorbankan nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda serta fasiliti militari.

Ketegangan bermula apabila Israel, pada 13 Jun lalu menyerang tapak nuklear dan ketenteraan di Iran kerana menuduh Tehran membangunkan senjata nuklear.

Tidak berdiam diri, Iran membalas dengan beberapa siri serangan sehinggalah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Selasa lalu mengumumkan gencatan senjata 'sepenuhnya dan total' antara Iran dan Israel.

TOPSHOT - This picture taken from Nuseirat, in the central Gaza Strip, shows rocket trails in the sky late on June 13, 2025, after Iran struck Israel with barrages of missiles after a massive onslaught targeted the Islamic republic's nuclear and military facilities. (Photo by Eyad BABA / AFP)

Gambar ini diambil dari Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza, menunjukkan jejak roket di langit selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel. -FOTO AFP

Trump berkata pengumumannya itu menandakan pengakhiran kepada konflik yang dinamakan sebagai 'Perang 12 Hari'.

Susulan perkembangan ini, satu sidang media khas diadakan pada Khamis yang mana Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi memberikan penerangan mengenai situasi semasa dan menjawab pertanyaan media tempatan berhubung isu ini.

Berikut disenaraikan 10 inti pati dalam sidang media tersebut yang diadakan di Kedutaan Besar Republik Iran, Kuala Lumpur.

1. Valiollah menegaskan bahawa Iran tidak suka malah tidak menginginkan peperangan, namun tidak teragak-agak bertindak balas jika tanah airnya diserang.

2. Beliau menyifatkan komuniti antarabangsa gagal mengambil tindakan wajar apabila Israel melancarkan serangan besar-besaran pada 13 Jun lalu walaupun Iran merupakan ahli kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan aktiviti nuklearnya dipantau oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan Iran sebagai negara anggota.

3. Iran memberi jaminan laluan strategik perdagangan menerusi Selat Hormuz tidak terjejas walau negara itu kini menghadapi konflik dengan Israel.

4. Menutup Selat Hormuz bukan agenda Tehran malah sentiasa berusaha untuk tidak menjadi penghalang perdagangan dengan negara jiran dan negara lain di dunia termasuklah Malaysia.

5. Iran menegaskan kekal komited terhadap kestabilan serantau dan memberi jaminan bahawa konflik yang sedang dihadapi negaranya tidak akan menjejaskan kestabilan rantau Asia, termasuklah Asia Tenggara.

6. Mengenai hubungan dengan Malaysia, Valiollah berkata kedua-dua negara masih utuh dan menganggap negara ini sebagai rakan karib.

7. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang kebanyakannya menyokong Iran dan menolak kekejaman Israel.

8. Mengakui Malaysia kini mempunyai suara yang kuat sebagai Pengerusi Asean pada peringkat antarabangsa termasuk dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha menghentikan kekejaman Israel.

9. Berharap Asean akan tampil menyatakan pendirian dan sokongan terhadap Iran seperti mana dilakukan blok serantau dan antarabangsa seperti OIC, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan BRICS yang telah mengecam tindakan Israel melanggar undang-undang antarabangsa.

10. Iran masih tetap dengan dasar dan pendiriannya menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang penindasan dan pendudukan Israel. Sokongan tidak terhad kepada politik, tetapi juga keperluan asas lain.

Artikel Lain