suria

Baru tiba dari Kelantan, lelaki maut ditikam rakan serumah… Pisau tertusuk di dada kiri

Proses bedah siasat dilakukan untuk menentukan punca kematian. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 33 tahun maut dipercayai ditikam rakan serumahnya dalam kejadian di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong dekat Sungai Buloh di Selangor pada malam Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Pusat Kawalan Gerakan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh kira-kira pukul 11.26 malam, memaklumkan terdapat satu insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah.

Susulan itu, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian. 

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit hati air oren diminum sebelum waktu berbuka puasa, lelaki tikam rakan sampai mati

Menurutnya, sebaik tiba, pasukan polis mendapati dua lelaki tempatan sedang berada di ruang tamu rumah tersebut.

"Salah seorang daripadanya iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun, ditemui terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian dada sebelah kiri.

"Seorang lagi lelaki yang juga penghuni rumah tersebut berada di lokasi kejadian sebelum ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, petugas perubatan dari Hospital Sungai Buloh kemudiannya tiba di lokasi pada pukul 12.01 tengah malam dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Hafiz berkata siasatan awal mendapati mangsa dan suspek merupakan rakan serumah dan baru sahaja tiba dari Kelantan tiga hari lalu.

"Pemeriksaan lanjut oleh Bahagian Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berjaya merampas pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam dan direman selama enam hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan," ujarnya lagi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain