DALAM dunia yang semakin terhubung secara digital, kehidupan harian rakyat Malaysia kini tidak dapat dipisahkan daripada penggunaan media sosial dan teknologi.
Dengan 25.1 juta pengguna media sosial direkodkan setakat 1 Januari 2025, negara ini muncul sebagai antara populasi paling bersambung di Asia Tenggara.
Namun, di sebalik keselesaan dan kemudahan teknologi, timbul persoalan besar tentang keselamatan data peribadi.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Selvakumar Manickam, ramai pengguna secara sukarela berkongsi data peribadi dan maklumat sensitif di media sosial.
Katanya apa yang ironik ialah, ramai bimbang dengan pengumpulan data oleh kerajaan atau institusi berkaitan, namun tidak mempersoalkan tindakan sama dilakukan syarikat swasta seperti Meta (Facebook), ByteDance (TikTok) dan X.
"Facebook pernah mendakwa tidak akan menjual data pengguna, namun ia secara kontroversi berkongsi maklumat pengguna dengan Cambridge Analytica.
"Insiden ini menjadi skandal besar dalam perbincangan privasi global kerana melibatkan data peribadi yang digunakan untuk manipulasi politik secara bersasar.

Ramai pengguna secara sukarela berkongsi data peribadi dan maklumat sensitif di media sosial.
"Jika kebimbangan terhadap penyalahgunaan data itu benar, maka platform yang meraih keuntungan besar hasil penuaian data massa juga wajar disemak dengan ketelitian yang sama, malah lebih ketat," ujarnya.
Menurut Selvakumar, setiap kali pengguna mendaftar masuk ke aplikasi atau platform 'percuma' seperti media sosial, alat navigasi atau permainan atas talian, ia sebenarnya adalah satu bentuk 'pertukaran' yang mana pengguna memberi akses kepada data peribadi mereka, termasuk corak penggunaan, minat, maklumat peranti, dan juga senarai kenalan.
Malah katanya, kebanyakan orang menerima terma dan syarat tanpa membacanya, dan tanpa sedar bersetuju dengan pengumpulan data secara besar-besaran.
Jelas Selvakumar, perkhidmatan digital negara hanya mengumpul data minimum untuk keselamatan siber atau penambahbaikan sistem, manakala syarikat teknologi gergasi membina empayar bernilai berbilion dolar berdasarkan profil data peribadi yang amat terperinci.
"Ini menimbulkan persoalan, mengapa apabila program kerajaan mengumpul data secara telus untuk tujuan operasi atau perlindungan, ia menjadi isu besar, sedangkan eksploitasi harian oleh platform asing tidak dipersoalkan?" soal Selvakumar.
Tambahnya, syarikat teknologi seperti Google dan Apple telah menguasai seni pengumpulan data secara halus.
Gmail, Google Docs, Google Drive, Apple iCloud, Siri, dan Google Photos adalah sebahagian daripada sistem yang sentiasa mengumpul dan menganalisis data pengguna, termasuk kandungan sebenar seperti istilah carian, arahan suara, foto, sejarah pelayaran dan juga lokasi.
"Apple mungkin mempromosi dirinya sebagai syarikat yang menitikberatkan privasi, namun data asas seperti siapa yang dihubungi, bila dan berapa lama juga tetap disimpan.
"Google pula menggunakan data tingkah laku pengguna untuk pengiklanan, pembangunan produk dan latihan model AI.
"Persoalannya, adakah masyarakat benar-benar dimaklumkan sejauh mana data mereka digunakan untuk memperkukuh model AI Google atau produk Apple.
"Lebih penting, mengapa tiada kemarahan awam apabila syarikat ini memperkenalkan kemas kini sistem yang menyukarkan pengguna untuk memilih keluar daripada perkongsian data?," ujarnya lagi.

Rakyat Malaysia perlu menyokong usaha kerajaan membina persekitaran digital yang lebih selamat dan mudah untuk semua. -Gambar hiasan
Sehubungan itu, Selvakumar berkata orang ramai perlu memastikan keadilan, tadbir urus beretika dan persetujuan dalam semua bentuk pengumpulan data, sama ada oleh kerajaan atau syarikat swasta.
Selvakumar turut menegaskan tentang kepentingan data-data tersebut bagi menangani ancaman di alam maya yang semakin meningkat.
"Melindungi rakyat Malaysia dalam dunia siber semakin kritikal, dan perkongsian data pengguna membantu sistem mengesan penipuan, jenayah dalam talian dan buli siber secara automatik pada peringkat awal.
"Dalam keadaan insiden sebegini semakin meningkat, penggunaan data secara bertanggungjawab amat penting untuk keselamatan awam.
"Namun, bagi membolehkan program-program ini mendapat kepercayaan rakyat, peranan pengawasan kerajaan tidak boleh diabaikan," katanya.
Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan perlu memainkan peranan dengan melakukan semakan teliti, memastikan data yang dikumpul disimpan dan diuruskan secara selamat mengikut piawaian antarabangsa yang ketat, serta melindungi daripada kebocoran data.
Malah katanya, kepercayaan rakyat bergantung kepada pemantauan rapi dan kebertanggungjawaban ini.
"Daripada berdebat tanpa kesudahan, rakyat Malaysia seharusnya menyokong usaha kerajaan membina persekitaran digital yang lebih selamat dan mudah untuk semua.
"Rakyat wajar bertanya kepada diri sendiri, adakah keperluan melindungi keselamatan rakyat Malaysia lebih penting daripada dakwaan pelanggaran privasi yang tidak dapat dibuktikan?" ujarnya mengakhiri bicara.


