suria

Malaysia terajui ASEAN GEMS, perkasa mobiliti pendidikan serantau

Persidangan disertai oleh menteri-menteri pendidikan tinggi negara ASEAN serta Timor Leste, dan turut dihadiri wakil kanan dari Myanmar dan Sekretariat ASEAN.

USAHA untuk memperkasa pergerakan pelajar dan ahli akademik dalam rantau ASEAN atau lebih dikenali sebagai mobiliti pelajar dan akademik merupakan antara topik yang dibincangkan dan dipersetujui dalam sesi Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN: Envisioning the Next Decade and Beyond, pada Khamis.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini termasuk usaha memudahkan pertukaran pelajar, sama ada di peringkat prasiswazah mahupun pascasiswazah, serta pertukaran pensyarah dari negara-negara ASEAN lain yang mungkin datang mengajar di universiti atau institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

“Selain itu, perbincangan turut mencapai persetujuan untuk menubuhkan sebuah badan khusus bagi mengurus hal berkaitan biasiswa dan Malaysia akan menerajui inisiatif ini melalui cadangan penubuhan platform ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS),” katanya pada sidang media selepas sesi rundingan itu.

Menurut Zambry, platform itu akan digunakan bagi mendapatkan sumber kewangan dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk menyediakan biasiswa.

ASEAN GEMS ialah platform sehenti bagi mendapatkan maklumat berkaitan program biasiswa dan mobiliti serantau di seluruh ASEAN, yang turut dilancarkan pada 19 Jun.

Beliau berkata, dalam sesi tersebut, negara anggota ASEAN turut bersetuju untuk mengiktiraf dan menyokong usaha yang sedang dijalankan bagi membangunkan pelan hala tuju serta pelan tindakan ke arah mewujudkan ruang pendidikan tinggi serantau bersama.

Inisiatif ini menurutnya bertujuan memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dalam bidang pendidikan tinggi di peringkat rantau.

Antara perkara lain yang dipersetujui termasuklah penubuhan jawatankuasa penyelaras yang terdiri daripada wakil setiap negara anggota ASEAN. 

Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab merangka dan memantau pelaksanaan pelan hala tuju serta pelan tindakan tersebut.

“Kami juga bersetuju untuk menubuhkan satu sistem yang memudahkan mobiliti graduan merentasi negara anggota ASEAN.

Zambry berkata cadangan mewujudkan rangkaian dan platform kerjasama dalam kalangan institusi pendidikan tinggi ASEAN turut dibincangkan.

Zambry berkata cadangan mewujudkan rangkaian dan platform kerjasama dalam kalangan institusi pendidikan tinggi ASEAN turut dibincangkan.

“Tujuannya membolehkan graduan bergerak lebih bebas dan menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang, sekali gus menggalakkan perkongsian ilmu serta kerjasama rentas sempadan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, negara anggota ASEAN bersetuju untuk mewujudkan jaringan dan platform kolaboratif di peringkat universiti yang melibatkan semua institusi pengajian tinggi di ASEAN.

“Dalam konteks Malaysia, pendidikan tinggi bukan sahaja merangkumi universiti, tetapi juga politeknik dan kolej komuniti, yang semuanya akan turut serta dalam usaha serantau ini,” katanya.

Inisiatif ini turut disokong dengan pelancaran portal Global ASEAN, yang berfungsi sebagai hab digital untuk kerjasama pendidikan, penyelidikan dan peluang pekerjaan di seluruh rantau ASEAN.

Zambry berkata, antara perkara lain yang dibincangkan termasuk cadangan mewujudkan rangkaian dan platform kerjasama dalam kalangan institusi pengajian tinggi ASEAN serta memastikan semua hasil perbincangan dibawa ke Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN pada Oktober nanti.

“Bagi merealisasikan objektif ini, sebuah jawatankuasa di peringkat ASEAN juga telah ditubuhkan dan dipersetujui dalam sesi rundingan ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang delegasi dari Filipina, Dr Shirley Castaneda Agrupis menyifatkan rundingan itu sebagai platform yang baik untuk ASEAN membincangkan masa depan pendidikan tinggi di rantau ini.

Beliau memuji Malaysia kerana menjadi tuan rumah acara yang disifatkannya sebagai peluang terbaik untuk setiap anggota ASEAN.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana menganjurkan sesi rundingan ini,” katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina itu berkata, rundingan ini memberi peluang kepada negara anggota ASEAN untuk bertukar pandangan, menilai amalan terbaik dan mengenal pasti kelemahan yang wujud.

Dalam bidang pendidikan tinggi, beliau berkata adalah penting untuk mempunyai amalan pembangunan penyelidikan dan inovasi di rantau ini kerana penyelidikan merupakan antara teras utama dalam pendidikan tinggi, dan kualiti penyelidikan yang tinggi amat diperlukan.

Tambahnya lagi, harus ada satu platform bersama untuk semua negara anggota berkongsi amalan terbaik dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi setiap keluarga di rantau ini.

Katanya, perkara ini hanya dapat dicapai melalui pendidikan yang merupakan alat paling berkuasa untuk meruntuhkan halangan.

Negara anggota ASEAN bersetuju untuk mewujudkan jaringan dan platform kolaboratif di peringkat universiti yang melibatkan semua institusi pengajian tinggi di ASEAN.

Negara anggota ASEAN bersetuju untuk mewujudkan jaringan dan platform kolaboratif di peringkat universiti yang melibatkan semua institusi pengajian tinggi di ASEAN.

Sementara itu, seorang lagi delegasi, Dr Salim M. AlMalik yang juga Ketua Pengarah Pertubuhan Negara Islam Bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO) berkata beliau berbesar hati kerana dijemput menghadiri acara tersebut.

Beliau juga diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan berkaitan isu pelajar tercicir dalam kalangan negara anggota organisasinya.

“Statistik menunjukkan terdapat 250 juta kanak-kanak yang tidak bersekolah, dan apa yang sedang kita lakukan mengenainya?

“Malangnya, majoriti daripada mereka berada dalam kalangan negara anggota kami, khususnya di Sub-Sahara Afrika, yang mana lebih 70 juta pelajar tidak bersekolah.

“ICESCO telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menyelesaikan masalah ini, terutamanya berkaitan pelajar perempuan yang tercicir, dan usaha ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Salim turut menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan dan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemuinya baru-baru ini, yang mana mereka berbincang tentang kepentingan kecerdasan buatan (AI) dan bagaimana untuk mengintegrasikannya ke dalam universiti di Malaysia.

“Rakyat Malaysia perlu sedar akan kepentingan AI, tetapi dalam masa yang sama perlu mengambil kira nilai-nilai Islam dalam penggunaannya, bagaimana, bila dan siapa yang patut menggunakannya,” jelasnya.

Beliau turut berharap ICESCO dapat menjadi rakan strategik dalam Festival of Ideas yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada November nanti.

Dalam pada itu beliau juga menyifatkan kunjungannya ke Malaysia sebagai sangat berkesan dan produktif serta yakin akan ada lebih banyak kerjasama antara ICESCO dan Malaysia, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, tetapi juga kepada negara anggota ICESCO lain.

Mesyuarat itu disertai oleh menteri-menteri pendidikan tinggi negara ASEAN serta Timor Leste, dan turut dihadiri wakil kanan dari Myanmar dan Sekretariat ASEAN.

Selain Zambry, antara yang hadir termasuk Menteri Pendidikan Brunei, Datin Seri Setia Dr Romaizah Mohd Salleh; Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Brian Yuliarto; dan Menteri Kanan bagi Kelestarian, Alam Sekitar dan Pendidikan Singapura.

 

Artikel Lain